1News Online:
Home » , » Sukan - Kelantan tolak permohonan Mat Yo

Sukan - Kelantan tolak permohonan Mat Yo

Sunday, October 28, 2012 | 3:13 PM


Persatuan Bola Sepak Kelantan tidak membenarkan hasrat penyerang Norshahrul Idlan Talaha daripada berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.

Naib Presidennya, Rosmadi Ismail berkata, pemain kebangsaan itu telah membuat permohonan untuk berhijrah ke pasukan lain tetapi ditolak oleh pihak pengurusan.
Beliau berkata, Norshahrul masih mempunyai baki kontrak setahun lagi dengan pasukan The Red Warriors.
"Jawatankuasa pasukan yang telah mengadakan mesyuarat, membuat keputusan menolak permohonan Norshahrul atas alasan masih mempunyai kontrak setahun beraksi dengan Kelantan dan suratnya saya serahkan sendiri kepada beliau di Kuala Lumpur tiga hari lalu.
"Kemungkinan besar beliau akan mengemukakan rayuan tetapi sehingga hari ini kita masih belum terima apa-apa surat daripadanya, oleh itu kita ambil keputusan tunggu dan lihat," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, ada ura-ura menyatakan bahawa penjaring dua gol pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 itu mendapat tawaran lumayan dari Johor yang bersedia membayar gaji bulanan sehingga mencecah RM80,000.
Malah, Johor juga dikatakan sanggup untuk menebus baki kontrak pemain berkenaan yang dipercayai mencecah hampir RM1 juta.
Rosmadi bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai khabar angin perpindahan Norshahrul ke Johor itu.
"Beliau (Norshahrul) hanya menyatakan dua, tiga alasan peribadi untuk meninggalkan Kelantan. Tentang tawaran lumayan dari Johor itu saya tak pasti. Saya tidak boleh dedahkan isi kandungan surat tersebut," katanya.
Sementara itu, Rosmadi berkata, pihaknya sedang berunding dengan dua pemain iaitu Mohd. Daudsu Jamaludin dan Mohd. Nurul Azwan Roya yang akan tamat kontrak pada bulan depan untuk kekal beraksi di sini.
Bagaimanapun, dua lagi tonggak utama Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Norfarhan Muhammad akan beraksi di sini walaupun mendapat tawaran lumayan daripada pasukan lain.
"Kita masih berunding dengan Daudsu dan Mohd. Nurul Azwan, tak semestinya kena tunggu Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa pulang baru buat keputusan. Seboleh-bolehnya kita mahu mereka berdua kekal di sini (Kelantan).
"Dalam isu Indra Putra dan Norfarhan, tak timbul cerita akan berpindah kerana kedua-dua pemain ini masih mempunyai kontrak dengan Kelantan setahun lagi," katanya.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger