1News Online:
Home » » Kesihatan - Elak kekebalan superbug

Kesihatan - Elak kekebalan superbug

Monday, October 29, 2012 | 1:48 PM


Seorang pesakit wanita datang ke Hospital Sungai Buluh, Selangor kerana sakit perut dan demam yang telah berlarutan lebih dua minggu.

Sebelum itu wanita berusia 31 tahun itu telah berulang-alik ke klinik yang berhampiran dengan rumahnya.

Apabila demam dan sakitnya masih berterusan, dia ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Malangnya semasa sampai ke hospital, keadaannya telah parah dan dia terpaksa diletakkan di bawah mesin sokongan hayat.

Lebih mengerikan nanah keluar dengan banyak daripada mulutnya dan perlu disedut menggunakan tiub.

Pemeriksaan menunjukkan bisul yang terdapat di dalam hatinya telah pecah dan masuk ke dalam paru-paru.

Wanita malang itu akhirnya meninggal dunia.

Kajian menunjukkan tubuhnya dijangkiti bakteria yang telah rintang dengan pelbagai jenis antibiotik.

New England Journal of Medicine pada 2011 telah menerbitkan kajian mengenai bakteria yang kebal terhadap antibiotik dengan tajuk Antibiotic-Resistant Bugs in the 21st Century a Clinical Super Challenge.

Kisah wanita di Hospital Sungai Buloh ini seakan-akan sama dengan insiden sebelum antibiotik yang dinamakan penicillin ditemui pada 1940-an.

Sejarah antibiotik bermula apabila Alexander Fleming menemui kulat Penicillium notatum pada 1928.

Penemuan itu membolehkannya memenangi Hadiah Nobel dalam bidang fisiologi pada 1945 bersama Howard Florey dan Ernst Boris Chain.

Tarikh itu menandakan bermulanya sejarah antibiotik moden yang banyak digunakan dalam mengawal jangkitan bakteria.

Sejak itu kajian dilakukan bagi mencari pelbagai jenis antibiotik yang baru untuk mengawal jangkitan bakteria berbahaya.

Pakar Runding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr. Benedict Sim berkata, insiden yang berlaku pada wanita berkenaan bukanlah kes yang terpencil.

"Kejadian berkenaan bukan saja berlaku di negara ini malah telah dan sedang berlaku di seluruh dunia akibat kerintangan bakteria terhadap antibiotik.

"Beberapa akhbar luar negara telah menerbitkan kisah mengenai bakteria rintang ini atau digelar suberbug yang telah mengorbankan banyak nyawa," katanya kepada pemberita pada bengkel sempena Kempen Kebangsaan Antimicrobial Resistance 2012 di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, rawatan terhadap jangkitan superbug menyebabkan kos perubatan pesakit semakin meningkat.

Ini berlaku kerana harga ubat yang digunakan adalah mahal serta pesakit perlu tinggal lama di dalam wad.

"Tetapi apa yang paling ditakuti, superbug membunuh pesakit," katanya.

Beliau menambah kerintangan bakteria terhadap antibiotik berlaku akibat penggunaan yang tidak terkawal oleh pengamal perubatan atau permintaan pesakit.

"Ini menyebabkan terdapat bakteria yang bermutasi untuk menyesuaikan diri. Bakteria berkenaan boleh membiak dengan lebih pantas disebabkan tiada saingan oleh bakteria lain.

"Tambahan pula, bakteria ini akan menjadi lebih ganas tanpa antibiotik yang lebih berkesan," katanya.

Kejadian berkenaan menyebabkan jumlah antibiotik semakin berkurangan sejak tahun 1970-an.

Lebih malang lagi, syarikat farmaseutikal kurang berminat untuk menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan antibiotik baru kerana bakteria yang sentiasa bermutasi.

Oleh itu Dr. Benedict berkata, penggunaan antibiotik perlu diawasi bagi mengawal kerintangan bakteria berbahaya.

"Masalahnya terdapat doktor yang gemar memberikan antibiotik selain pesakit yang sering meminta antibiotik daripada doktor.

"Sebenarnya antibiotik tidak diperlukan bagi sakit tekak, demam selesema, sinisitus, bronkitis atau sakit telinga," katanya.

Setiap kali penggunaan antibiotik akan meningkatkan lagi kebarangkalian kerintangannya terhadap bakteria.

"Biasanya kerintangan terhadap antibiotik akan meningkat sebab terlebih guna atau over dose," katanya.

Justeru beliau menyarankan pesakit dan pengamal perubatan lebih berhati-hati semasa menggunakan antibiotik.

Bayangkan apa yang berlaku apabila tiada lagi antibiotik yang boleh digunakan, tentu saja dunia penuh dengan penyakit berjangkit.

Sehingga kini hanya terdapat beberapa jenis antibiotik yang masih boleh digunakan bagi mengawal bakteria.

"Andaikan antibiotik sama seperti kemoterapi. Antibiotik adalah jalan terakhir yang diambil sebagai ubat.

"Jadi awasi pengambilan antibiotik," katanya.


Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger