1News Online:
Home » , , » Sukan - Chelsea bantah lagi pengadil biadab

Sukan - Chelsea bantah lagi pengadil biadab

Tuesday, October 30, 2012 | 2:03 AM


LONDON - Pengadil Liga Perdana Inggeris, Mark Clattenburg bakal mendapati dirinya berada dalam 'keadaan panas' selepas Chelsea mengemukakan aduan rasmi terhadapnya kerana menggunakan 'bahasa yang tidak sepatutnya' kepada dua pemain mereka ketika kelab London itu tewas 2-3 kepada Manchester United dalam perlawanan penuh kontroversi, semalam.

Rekod tanpa kalah Chelsea musim ini akhirnya lebur apabila pemain gantian United, Javier Hernandez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75.
Jaringan tersebut turut mencetus kontroversi kerana penyerang Mexico itu jelas berada pada posisi ofsaid.

Jaringan Hernandez dihasilkan tidak lama selepas Clattenburg melayangkan dua kad merah kepada tonggak Chelsea, pemain pertahanan Branislav Ivanovic dan penyerang Fernando Torres pada pertengahan babak kedua.

"Kami telah mengemukakan aduan rasmi kepada delegasi perlawanan Liga Perdana mengenai tindakan pengadil yang menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya kepada dua pemain kami dalam insiden yang berasingan.

"Delegasi perlawanan akan memanjangkan aduan tersebut kepada Persatuan Bola Sepak (FA). Kami tidak akan mengeluarkan kenyataan lanjut buat masa ini,'' kata jurucakap kelab.

Juara Eropah itu bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah pemain yang terlibat dalam insiden tersebut dan apakah kata-kata yang dikeluarkan oleh pengadil, namun dia menafikan laporan bahawa John Obi Mikel pergi ke bilik pengadil sejurus tamat perlawanan.

Mikel dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil pada separuh masa kedua.

Clattenburg enggan memberi sebarang komen tetapi Lembaga Pegawai Perlawanan Profesional (PGMO), yang bertindak menguruskan pengadil-pengadil liga England dalam satu kenyataan media berkata, mereka akan menyiasat dakwaan tersebut secara serius.

"Clattenburg akan memberi kerjasama penuh dan kami mengalu-alukan sebarang fakta tambahan untuk melakukan siasatan,'' kata PGMO dalam kenyataan.

Insiden itu melengkapkan hari penuh kontroversi di Stamford Bridge, yang turut menyaksikan seorang steward dibawa ke hospital kerana cedera kaki selepas terkena objek keras yang dilontar oleh peminat yang marah dengan tindakan Clattenburg melayangkan kad merah kepada Torres.

Pengadil tersebut mendakwa bintang penyerang Sepanyol itu sengaja menjatuhkan badan sedangkan terdapat sentuhan jelas di antara Torres dan pertahanan United, Jonny Evans.

Mutu pengadilan buruk membayangi beberapa perlawanan besar Liga Perdana hujung minggu lalu.

Tidak lama sebelum perlawanan Chelsea-United, Liverpool terlebih dulu menjadi mangsa apabila jaringan Luis Suarez dibatalkan oleh pengadil sedangkan kedudukan pemain itu jelas tidak ofsaidReds akhirnya seri 2-2 dengan Everton.
Sehari sebelum itu, jaringan Mikel Arteta dibenarkan oleh pengadil untuk membolehkan Arsenal menewaskan Queens Park Rangers 1-0 walaupun pemain tersebut ofsaid.

Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger