1News Online:
Home » , , » Sukan - Kad Merah patut kepada Suarez - Moyes

Sukan - Kad Merah patut kepada Suarez - Moyes

Tuesday, October 30, 2012 | 2:06 AM

Luis Suarez sengaja merebahkan badannya di hadapan bangku pemain Everton selepas menjaringkan gol pertama Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, kelmarin. Perbuatan Suarez itu telah mengundang rasa tidak puas hati pengurus Everton, David Moyes (duduk, dua dari kiri). - AFP


LIVERPOOL - Pengurus Everton, David Moyes berpendapat Luis Suarez patut dibuang padang walaupun sebelum ini penyerang Liverpool itu menjadi mangsa pengadilan buruk apabila jaringannya dibatalkan kerana ofsaid dalam pertemuan dua musuh Merseyside, kelmarin.

Penyerang Uruguay itu sekali lagi mencuri tumpuan di Goodison Park apabila meraikan gol pembukaan Liverpool dengan sengaja merebahkan badannya di kaki Moyes.

Sebelum itu Suarez melakukan hantaran silang cantik yang kemudian ditolak oleh bek kiri Everton, Leighton Baines ke gawang sendiri pada minit ke-14.

Reaksinya itu adalah bagi membalas kritikan Moyes, yang sebelum perlawanan mendakwa bintang Liverpool itu terlalu mudah terjatuh.

Moyes turut berkata, sikap Suarez menyebabkan peminat menghindari bola sepak.

Selepas mencipta gerakan untuk gol pembukaan, Suarez meletakkan Liverpool mendahului 2-0 selepas menambah jaringan pada minit ke-20, sebelum Leon Osman dan Steven Naismith bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke- 22 dan 35.

Suarez sepatutnya menghadiahkan tiga mata kepada pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan pada penghujung permainan, namun jaringannya dibatalkan pengadil selepas penjaga garisan mendakwa dia ofsaid sedangkan pemain itu jelas berada dalam posisi yang dibenarkan.

Moyes berkata, dia tidak ada masalah dengan provokasi yang dilakukan Suarez ketika meraikan gol pertama pasukannya, sebaliknya berkata, penyerang itu patut dibuang padang kerana melakukan terjahan keras ke atas Sylvain Distin, tindakan yang menyebabkan dia dilayangkan kad kuning.

Ketika ditanya mengenai cara pemain itu meraikan jaringannya, Moyes berkata: "Saya rasa ia hebat. Ia hanyalah perkara biasa yang sering dilakukan pemain apabila menjaringkan gol, mungkin saya juga akan melakukan perkara yang sama jika saya jaringkan gol.

"Tetapi saya perlu katakan, dia sangat bernasib baik kerana masih berada di atas padang selepas melakukan terjahan keras. Kalau kami mendapat gol ketiga, mungkin kami akan melakukan perkara yang sama kepadanya (meraikan gol dengan merebahkan badan).

"Dia telah melakukan terjahan dari arah belakang dan menjatuhkan kaki Sylvain. Anda harus berhati-hati dengan apa yang anda lakukan."

Sementara itu, pengurus Liverpool, Brendan Rodgers merasakan sepatutnya kemenangan ke atas musuh ketat, Everton mampu memberi makna besar kepada pasukannya dan membantu pasukan meneruskan momentum peningkatan.
"Walaupun kami kecewa (gagal membawa pulang tiga mata) tetapi pada masa yang sama saya amat bangga. Apabila saya melihat cara pasukan ini menangani situasi tegang, mereka tampak seperti sebuah pasukan yang sangat berpengalaman sedangkan ramai pemain kami masih muda.

"Raheem Sterling baru 17 tahun, Suso, 18, Andre Wisdom 19, Jonjo Shelvey 20, manakala Joe Allen dan Jordan Henderson 22 tahun. Mereka semua pemain muda yang semakin meningkat dan mampu menjadi lebih baik.
"Kami masih tidak tahu mengapa jaringan Luis dibatalkan dan saya akan mendapatkan jawapannya,'' kata Rodgers. 


Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger