1News Online:
Home » , , » Sukan - Perubahan Pada Pucuk Pimpinan Man City Tanda Aras Baru Dalam Liga Perdana Inggeris

Sukan - Perubahan Pada Pucuk Pimpinan Man City Tanda Aras Baru Dalam Liga Perdana Inggeris

Tuesday, October 30, 2012 | 11:51 PM


PERUBAHAN pada pucuk pimpinan pengurusan Manchester City bukan sahaja akan menguji sejauh mana pengaruh dan kuasa Roberto Mancini tetapi juga telah meletakkan tanda aras baru di dalam dunia bolasepak Inggeris.
Bagi kebanyakkan kelab dalam Liga Perdana Inggeris, jawatan 'pengarah bolasepak' adalah sesuatu yang asing dan baru tetapi bagi kebanyakkan kelab di benua Eropah ia telah menjadi satu amalan.
Malah kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak Inggeris - Manchester United - pun tidak memiliki jawatan 'pengarah bolasepak' atau pada sesetengah kelab dinamakan 'pengarah taktikal' atau 'penasihat global'.
Kelab Inggeris mengelak pelantikan bagi jawatan tersebut kerana khuatir berlakunya krisis personaliti di antara peneraju jawatan itu dengan pengurus pasukan yang dominan.
Contoh terbaik ialah Sir Alex Ferguson yang pada asasnya menentukan segala hala tuju dalam pembentukan skuadnya di United.
Dalam situasi yang kontrari, di Blackburn, apabila pemilik kelab berkenaan melantik bekas pemain kebangsaan Malaysia, Shebby Singh selaku penasihat global mereka yang baru, berlaku pertelagahan personaliti antaranya dengan pengurus pasukan Steve Kean yang akhirnya menyaksikan Shebby menang dan Kean terpaksa meninggalkan kelab tersebut.
Shebby kini yang memainkan peranan sama seperti pengarah bolasepak atau pengarah taktikal dipertanggungjawabkan mencari penganti Kean.
Dan sejak Kean disingkirkan, Blackburn telah kembali mencabar takhta Liga Divisyen Satu Inggeris itu untuk kembali ke Liga Perdana musim depan.
Di Eropah, seorang pengarah bolasepak bertanggungjawab ke atas mengenalpasti pemain-pemain untuk dibeli oleh kelab mereka malah dalam kes di Barcelona dan Real Madrid, mereka menjadi penentu kepada keputusan melantik pengurus dan jurulatih.
Dalam kes di Manchester City, pemilik kelab berkenaan, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan telah menyaksikan bagaimana pergelutan kuasa di antara Mancini dengan Pengarah Urusan, Brian Marwood pada musim lalu menjadikan City satu-satunya kelab dalam Liga Perdana yang gagal membeli mana-mana pemain ternama dan baru.
Ini kerana kedua-duanya gagal mencapai persetujuan dalam banyak hal mengenai jenis dan kualiti pemain yang diperlukan oleh kelab itu.
Kegagalan City menambah koleksi pemain baru dan ternama kini telah memakan diri mereka sendiri selepas mereka gagal menyerlah dalam pertandingan Liga Juara-Juara Eropah yang sedang berlangsung di peringkat kumpulan sekarang.
Sheikh Mansour menyedari, permasalahan ini perlu di atasi segera dan satu-satunya jalan penyelesaian ialah dengan mengubah sistem hierarki dalam pengurusan kelab tersebut.
Pemilik City itu mendapati, sistem hierarki kepimpinan sekarang yang diwarisinya dari sistem pengurusan kelab-kelab Inggeris memperlihatkan pembahagian kuasa dalam pasukan pengurusannya tidak jelas dan kacau bilau.
Dan beliau melihat, sistem yang diamalkan oleh kebanyakkan kelab di benua Eropah khususnya Barcelona dan Real Madrid adalah yang terbaik untuk dilaksanakan di kelabnya sendiri.
Bersandarkan modul itu, Sheikh Mansour telah membuat pelaburan yang besar dengan membawa masuk dua bekas tonggak utama Barcelona iaitu Ferran Soriano sebagai ketua pegawai eksekutif yang baru dan Txiki Begiristain selaku pengarah bolasepak yang baru.
Bersamaan dengan pelantikan ini juga, Sheikh Mansour telah menggariskan hierarki baru dalam pengurusan kelab itu.
Mancini kini mendapati, dia bertanggungjawab melaporkan perkembangan skuad kepada Soriano selaku CEO dan Begiristain selaku pengarah bolasepak.
Pada masa yang lalu, dia tidak perlu berbuat demikian kepada Marwood.
Untuk menyelesaikan masalah antara Marwood dengan Mancini, Sheikh Mansour telah melantik Marwood sebagai pengarah urusan Akademi Bolasepak City yang baru.
Akademi tersebut akan siap sepenuhnya menjelang musim depan dan Marwood akan mendapati yang dia akan bertanggungjawab ke atas lebih 400 orang pelatih dan pemain muda yang akan disyorkan untuk diserap dalam skuad utama sepertimana yang telah berjaya dilakukan oleh United.
Posisi ini sekaligus mengelakkan sebarang pertikaian di antaranya dengan Mancini secara langsung kerana kini dia hanya hanya perlu berkomunikasi secara langsung dengan Soriano dan Begiristain.
Serentak dengan pelantikan Begiristain pula, tanggungjawab mengenalpasti pembelian pemain-pemain baru dan ternama akan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasanya dan bukan lagi Mancini.
Kedua-dua Soriano dan Begiristain telah sebati dan masak dengan budaya 'menghormati model pengurusan dan peranan pengarah bolasepak' sebagaimana yang mereka sama-sama nikmati hasilnya ketika di Barcelona.
Dan mereka mengharapkan Mancini akan turut menghormati model tersebut yang kini telah mengambil tempat di Manchester City.
Salah satu dokumen yang mengandungi kriteria pengurusan sebuah kelab bolasepak moden sebagaimana yang dirangka oleh Soriano dan Begiristain ialah; "Pengarah Bolasepak haruslah diberi kuasa dan tanggungjawab membuat keputusan terakhir dalam pembelian pemain manakala pengurus pasukan berkuasa menentukan senarai akhir 11 pemain utama dan simpanan dalam setiap perlawanan."



Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger