1News Online:
Home » » Amaran Hamas kepada Israel

Amaran Hamas kepada Israel

Wednesday, November 21, 2012 | 3:13 AM



GENTING GAZA - Komander tertinggi sayap tentera Hamas, Mohammed Deif memberi amaran, Israel akan menerima padah jika ia berani melancarkan serangan darat ke dalam wilayah Palestin ini.
"Pihak musuh (rejim Zionis) akan menerima padah jika ia merancang untuk masuk ke Gaza," kata Mohammed yang merupakan komander Briged Ezzedine Al-Qassamzz kepada stesen televisyen Hamas, Al-Aqsa.
"Perang darat merupakan harapan terbaik untuk membebaskan tahanan Israel," tambahnya.
Beliau merujuk kepada rancangan pejuang Palestin untuk menawan askar-askar Israel dan menukarnya dengan tahanan Palestin sekiranya Tel Aviv menceroboh Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu, pasukan perubatan di sini menyatakan seramai enam penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara tentera Israel yang masuk hari ketujuh semalam
Angka kematian tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keganasan Israel kini meningkat kepada 116 orang termasuk sejumlah wanita dan kanak-kanak.
Serangan udara dan bedilan artileri Tel Aviv itu yang bermula pada 14 November lalu turut mencederakan lebih daripada 920 orang awam.
Mengulas serangan terbaharu itu Tentera Israel menyatakan, operasi semalam melibatkan kira-kira 100 sasaran di sini yang dibedil dengan pesawat pejuang dan meriam.
Salah satu sasaran tentera Israel merupakan Bank Islam Kebangsaan milik pejuang Hamas yang rosak teruk selepas diserang.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah roket yang ditembak dari sini mengenai sasaran dekat Baitulmuqaddis tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Pasukan Briged Al-Qassam mengaku melancarkan roket tersebut ke arah bandar Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel.
Perkembangan itu berlaku ketika Mesir yang menjadi pengantara gencatan senjata antara Israel dan Gaza menyatakan pertempuran yang berlaku akan tamat minggu ini.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah menghantar Setiausaha Negara Hillary Clinton ke Asia Barat untuk menghentikan pertempuran antara Israel dan Hamas.
White House berkata, Hillary akan berjumpa dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis, pegawai-pegawai Hamas di Ramallah dan pemimpin Mesir di Kaherah bagi mencari jalan penyelesaian. - Agensi
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger