1News Online:
Home » » Apple bakal lancar televisyen akhir 2013

Apple bakal lancar televisyen akhir 2013

Tuesday, November 27, 2012 | 8:33 PM



Apple dijangka melancarkan televisyen yang mempunyai pelbagai aplikasi yang boleh digunakan dengan peranti lain seperti iPad.

New York: Apple Inc dikatakan sedang membangunkan televisyen yang akan didatangkan dalam dua saiz, 47 dan 55 inci sekali gus dijangka menjadi peranti yang paling dihajati sebagai hadiah menjelang musim perayaan hujung tahun depan.

Gene Munster dari Piper Jaffray, penganalisis Apple, dengan beberapa kejayaan jangkaan lampau berhubung syarikat itu, minggu ini dalam satu nota pelabur menyatakan beliau percaya Apple akan melancarkan televisyen menjelang suku ketiga tahun depan yang akan membabitkan pelbagai ciri tambahan.
Dalam nota yang diterbitkan semula dalam blog Apple Insider, beliau berkata: “Kami menjangkakan rekaan yang cantik menjadi ciri utama, tetapi ciri yang lebih penting adalah kebolehan menggunakan televisyen itu dengan pelbagai peranti.

Katanya, televisyen 47 inci itu akan dijual pada harga AS$1,500 (RM4,586) dan model 55 inci, AS$2,000 (RM6,115) apabila ia mula berada di pasaran November tahun depan.

Ia adalah khabar angin terbaru, beberapa minggu ini mengenai kemungkinan kemasukan Apple dalam pasaran televisyen.

Peringkat akhir

Minggu lalu, bank pelaburan Jefferies & Co mendakwa bahawa syarikat itu sudah pada peringkat akhir menyiapkan televisyen itu. Namun, pemeriksaan lanjut hanya dapat mengesahkan bahawa Apple memang sedang berhubung dengan beberapa pengendali televisyen kabel mengenai produk berkaitan televisyen.
Menurut Wall Street Journal, sumber berita pertama yang mempunyai jangkaan tepat terhadap iPad Mini, menyatakan produk itu akan menjadi imaginasi semula Apple TV.

Peranti itu kini membolehkan pengguna melayari kandungan daripada mana-mana peranti Apple hingga kepada televisyennya, namun ia percaya bahawa kesemua model baru kini dalam perancangan akan turut menyediakan fungsi seperti set kotak atas dengan gaya navigasi Apple dan paparan muka serta kemampuan untuk menghentikan dan mengulang siaran langsung televisyen.

Sementara itu di Ottawa, Kanada, saham Research In Motion (RIM) pengeluar telefon pintar BlackBerry yang juga antara pesaing Apple, melonjak lebih 15 peratus selepas pelabur positif dengan tinjauan masa depan syarikat itu terutama berkaitan pengenalan produk baru.

Lancar peranti baru

Kris Thomson dari National Bank Financial meningkatkan harga sasaran RIM, dengan menaruh saham itu akan naik ketika momentum meningkat bagi pelancaran sistem operasi baru Blackberry 10 dan dua telefon pintar baru.

Penganalisis Jefferies & Co, Peter Misek menggandakan sasaran harganya kepada Can$10 (RM30.70) dengan menyatakan penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu yang sedang menguji peranti baru itu mempunyai lebih banyak pandangan positif mengenai BB10 berbanding jangkaan.

Peranti terbaru RIM ditumpukan bagi meraih kembali momentum berbanding telefon pintar Apple dan telefon lain yang menggunakan sistem operasi Google Android.

Misek berkata, jumlah pengguna global RIM turun kepada kepada lebih 80 juta bagi suku sebelum ini, mengukuhkan laporan tindakan syarikat besar dan pelanggan kerajaan bertukar kepada iPhone Apple. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger