1News Online:
Home » » ASK 2012 Catat 4 Juta Penonton

ASK 2012 Catat 4 Juta Penonton

Wednesday, November 14, 2012 | 1:08 PM


Pelakon terkenal, Abu Bakar Omar menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi lakonan cemerlang dalam Gincu Ayah.
PETALING JAYA: Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) yang berlangsung pada Jumaat lalu telah berjaya meraih jumlah penonton tertinggi iaitu sebanyak empat juta (17.1 TVR) atau 54 peratus sepanjang tayangannya pada pukul 9 malam hingga 12 tengah malam menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Nielsen Media Research.
Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisten Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, berkata, angka itu telah membuktikan penat lelah dan keringat semua tenaga kerja anugerah itu dalam merialisasikan dunia fantasi telah berjaya membawa kelainan untuk dikongsikan bersama semua penonton TV3.
"ASK 2012 bukan hanya meraikan para penggiat dan karyawan seni tanah air malah ia juga sebagai batu loncatan bagi mereka yang memenangi anugerah tersebut untuk terus maju ke hadapan.
"Selain itu, maklum balas yang diterima daripada para penonton bakal menyuntik semangat kepada kami untuk terus berusaha lebih gigih untuk menerbitkan produk yang lebih bermutu pada masa akan datang,” ujarnya menerusi satu kenyataan akhbar pada Rabu.
Pelakon muda berbakat, Syafie Naswip menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem menerusi lakonannya dalam filem Songlap.
Program ‘Fantasi ASK 2012’ yang memaparkan detik-detik persiapan dan kemeriahan Jelajah ASK 2012 pada 9 November 2012 dari pukul 4.30 petang hingga 5 petang turut mencecah kadar tontonan sehingga 1 juta penonton sewaktu bersiaran.
Memasuki edisi ke 14 tahun ini, ASK 2012 telah mengangkat tema 'Selami Dunia Fantasi Kami' dan menyuntik elemen teater dalam konsep persembahan pada malam itu.
Anugerah berprestij itu telah menyaksikan kemenangan besar drama Di Telapak Kaki Bondaterbitan Filmscape Sdn Bhd di bawah arahan Kabir Bhatia yang menggondol empat anugerah utama iaitu Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di samping meraikan Bunohan sebagai Filem Terbaik.
Dalam pada itu, TV3 bukan sahaja merangkul kadar tontonan tertinggi di televisyen malah ASK 2012 yang turut disiarkan menerusi laman web www.tv3.com.my/ask2012 turut mendapat kunjungan sebanyak 200,000 pelawat sepanjang anugerah itu berlangsung.
Maya Karin dan Shaiezy Sam bersama trofi kemenangan masing-masing.
Angka itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun sebelumnya dan turut mendapat pelawat daripada negara seperti Singapura, Brunie, Australia dan Amerika Syarikat.
Malah laman sosial Twitter dengan hastag #ASK2012 bukan sahaja 'trending' di Malaysia malah ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga berjaya mendapat tempat kelapan secara global.
ASK 2012 diterajui oleh Awal Ashaari bergandingan dengan pelakon wanita popular, Neelofa bersama Datuk Rahim Razali, Datin Umie Aida, Harun Salim Bachik dan Abon untuk mengemudikan majlis penganugerahan.
Manakala acara karpet merah dikendalikan oleh Dynas dan Karl Shafek bersama Juara Pencarian Hos Pantene Anugerah Skrin Musim Kedua, Muhammad Fadzil Ahmad Shukor.


Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger