1News Online:
Home » » BGRC janji kepuasan maksimum

BGRC janji kepuasan maksimum

Tuesday, November 27, 2012 | 8:24 PM




SUATU ketika dahulu, Gambang sebuah pekan kecil di dalam daerah Kuantan kurang dikenali apatah lagi tiada tarikan pelancongan yang menarik di situ, namun kini, pekan itu mula meniti dibibir umum sejak kewujudan lokasi percutian menarik yang dikenali Bukit Gambang Resort City (BGRC).

Berkeluasan 219 hektar, BGRC menawarkan pakej percutian keluarga yang menjanjikan kepuasan maksimum ditambah pula dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung terutama di taman tema air yang menjadi tarikan utama di situ.

Dimiliki oleh Sentoria Themeparks And Resort Sdn. Bhd., BGRC yang terletak kira-kira 35 kilometer (km) atau 30 minit perjalanan dari bandar Kuantan itu dikelilingi hutan hujan tropika membuatkan suasana begitu mendamaikan serta sesuai untuk mereka yang ingin lari dari kesibukan kota.

Mula beroperasi pada Jun 2009, BGRC menyediakan penginapan berupa pangsapuri mewah, Caribbean Bay Suites (CBS) yang menempatkan 578 unit apartmen (enam blok), 440 unit suite keluarga, 120 unit suite studio dan 18 unit suite deluxe dengan harga berpatutan.

Sesuai bagi mereka yang merancang bercuti bersama keluarga, sanak-saudara mahupun secara berkumpulan dengan harga yang ditawarkan amat berpatutan dan menjimatkan.

Selain itu, CBS turut menyediakan pelbagai kemudahan menarik seperti kolam renang, jakuzi, gimnasium termasuk kedai cenderamata dan taman hiburan keluarga yang menempatkan beberapa jenis permainan menjanjikan keseronokan terutama pada kanak-kanak.

Tidak ketinggalan Caribbean Coffee House dan Caribbean Bistro yang menawarkan pelbagai menu masakan tradisional, timur dan barat.

Bagi syarikat atau badan korporat yang ingin mengadakan seminar atau bengkel, CBS turut menyediakan 13 bilik mesyuarat yang terdiri daripada sebuah dewan serbaguna, tiga buah dewan utama dan 10 bilik mesyuarat pelbagai saiz.

Bagi menampung keperluan pengunjung yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa, BGRC kini melangkah setapak lagi apabila Arabian Bay Resort (ABR), iaitu tempat penginapan kedua siap sepenuhnya dan sedia menerima tetamu.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi BGRC, Karen Tan berkata, di ABR terdapat 546 suites apartmen iaitu 320 unit suite keluarga yang dilengkapi dua bilik tidur, dapur serta ruang tamu, 216 unit suite studio (satu bilik tidur) dan 10 unit penthouse.

Melangkah masuk ke ruang lobi ABR, anda pasti terpesona dengan dekorasi indah berkonsepkan ala Timur Tengah yang mana terdapat pokok-pokok kurma menghiasi di satu sudut, ditambah pula dengan replika unta bagi menyambut kehadiran tetamu.

Seperti di CBR, ABR turut menyediakan kemudahan seperti rumah kelab, rekreasi, pusat hiburan keluarga selain Arabian Coffee House serta Sahara Palmae, iaitu restoran terbuka yang menghadap kolam renang," katanya ketika ditemui S2 di sini.

Tambahnya, BGRC juga menyediakan dewan besar yang boleh menempatkan kira-kira 3,100 tetamu bagi jamuan meja bulat yang turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Largest Pillarless Ballroom in Malaysia.

Percutian anda seperti tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke Taman Tema Air Bukit Gambang hanya terletak bersebelahan tempat penginapan yang merupakan taman permainan air terbesar di Pantai Timur.

Pelbagai jenis permainan khas untuk kanak-kanak dan cukup ekstrem bagi golongan dewasa disediakan kepada pengunjung di kawasan seluas 16 hektar yang dikelilingi hutan rimba meredupkan suasana," jelasnya.

Jelas Karen, pengunjung pasti akan lebih teruja apabila satu tarikan baru bakal dibuka pada akhir tahun ini iaitu Taman Safari Bukit Gambang yang berkeluasan 36 hektar menempatkan pelbagai spesies haiwan dapat dilihat.

Lebih seronok apabila taman safari berkonsepkan ‘Mata ke Mata’ memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman mengenali haiwan-haiwan terbabit dengan lebih dekat selain pelbagai aktiviti seperti ‘night jungle’ turut disediakan ," jelasnya.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger