1News Online:
Home » , » Butler sah terajui T-Team

Butler sah terajui T-Team

Wednesday, November 14, 2012 | 9:45 AM



BEKAS pengendali Terengganu, Peter James Butler akan menandatangani kontrak sebagai pengurus dan jurulatih baharu pasukan berstatus kelab, T-Team dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Rozi Mamat berkata, pihak pengurusan T-Team dan Butler telah mencapai persetujuan selepas pengendali dari England itu dilepaskan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
"Dia (Butler) akan menandatangani kontrak selaku jurulatih dan pengurus T-Team dalam masa terdekat.
"Dia dilihat pilihan terbaik dan kami merasakan dia mampu menerajui pasukan ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam menyemai disiplin dalam kalangan pemain," katanya.
Rozi yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk memantau pasukan T-Team dan Terengganu pada musim depan menambah, T-Team sudah lama ingin mendapatkan khidmat Butler sejak musim lalu lagi memandangkan beliau mempunyai rekod baik sebagai jurulatih.
Katanya, kaedah latihan dan cara Butler mendisiplinkan pemain akan memberi manfaat kepada skuad T-Team, sekali gus meningkatkan prestasi pasukan pada musim depan.
"T-Team sebenarnya mahukan khidmat Butler pada musim lalu tetapi Terengganu bertindak lebih awal untuk mendapat khidmatnya.
"Justeru, apabila semua masalah berhubung Butler dan PBSNT telah diselesaikan, T-Team tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmatnya," kata Rozi.
Beliau menambah, dengan pelantikan sebagai pengurus dan jurulatih, Butler akan diberi kebebasan untuk memilih pemain.
Katanya, sesi latihan pasukan T-Team akan bermula pada 16 November ini selepas Butler menandatangani kontrak dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, T-Team juga sedang mengadakan perbincangan dengan pemain dari Ghana iaitu George dan Derek Boateng.
"Kalau semua berjalan dengan lancar, kami akan memperkenalkan pemain-pemain import baharu ini minggu depan," katanya.
Rozi menjelaskan, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk kedua-dua pasukan (T-Team dan Terengganu) pada musim depan. Ia dijangka akan ditambah mengikut prestasi pasukan.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger