1News Online:
Home » , , » Chelsea buru gol sulung

Chelsea buru gol sulung

Friday, November 30, 2012 | 8:03 AM



LONDON - Chelsea mempunyai misi peribadi pada aksi Liga Perdana England menentang West Ham United di Upton Park malam esok.

Selain melakar kemenangan pertama, Chelsea turut memburu gol sulung di bawah bimbingan Rafael Benitez yang di lantik menjadi pengurus skuad The Blues minggu lalu.

Bekas pengurus Liverpool itu diberi kepercayaan untuk menggantikan tempat Roberto Di Matteo yang dipecat pemilik Chelsea, Roman Abramovich.

Benitez kekal positif meskipun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam dua perlawanan pertama menentang Manchester City pada Ahad lalu dan Fulham awal pagi semalam.

"Saya melihat banyak perkara positif, terutamanya di posisi serangan dan kawalan bola yang baik," kata Benitez selepas Chelsea seri tanpa jaringan dengan Fulham awal pagi semalam.

"Saya tidak suka apabila kami mempersia-siakan dua peluang terbaik menerusi serangan balas yang pantas dan kami gagal melakukan hantaran yang pantas tetapi hanya masa yang menentukan.

"Kami hanya melakukan beberapa sesi latihan. Kami memerlukan lebih banyak masa."

Ketika ini, Chelsea menghuni tangga ketiga selepas mengumpul 26 mata, masing-masing tujuh dan enam mata di belakang Manchester United (33) serta Manchester City (32).

Bagi West Ham, kekalahan 0-1 kepada United dalam satu lagi perlawanan liga domestik awal pagi semalam meletakkan mereka di tangga ke-10 liga (19 mata).

Skuad kendalian Sam Allardyce itu hanya menang sekali sepanjang enam perlawanan terakhir musim ini. - Agensi
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger