1News Online:
Home » » Destinasi tersorok zimbabwe

Destinasi tersorok zimbabwe

Thursday, November 29, 2012 | 11:24 PM

Monumen Nyami Nyami, dewa kaum Tonga yang merupakan penduduk asal sepanjang Sungai Zambezi sebelum pembinaan empangan Kariba.

Sydney Katunga Phiri, menunjuk air empangan yang disalur melalui pintu banjir di Empangan Kariba, Zimbabwe.

Keletihan perjalanan sejauh 360 kilometer menggunakan jalan raya ke Taman Negara Tasik Kariba, Zimbabwe hilang seketika bila rombongan usahawan dan media terserempak dengan seekor gajah Afrika di tepi jalan.

Bagaikan tahu gelagatnya sedang diperhati, si gajah membiarkan sahaja dirinya menjadi tumpuan lensa-lensa kamera, seakan-akan mengucapkan selamat datang kepada lawatan selama tiga hari kami yang dijemput khas oleh Zimbabwe Tourism Authority (ZTA).

Tidak lama kemudian, buat pertama kali penulis melihat sendiri besarnya pokok Baobab yang dikatakan boleh hidup hingga ribuan tahun.

Pokok ini memiliki ciri unik. Walaupun batangnya besar tetapi bahagian dalamnya kosong. Sesetengah kaum asli di benua ini menggunakannya untuk membuat rumah.

Tiba di kawasan tasik, masing-masing terpukau dengan keindahan kawasan ini.

Sekilas pandang, nampak seperti laut. Sayup-sayup kelihatan, rumah-rumah bot yang menjadi satu daripada tarikan pelancongan, kelong penternakan ikan tilapia, dan bot-bot nelayan memeriahkan permukaan tasik ini.

Tasik Kariba adalah tasik buatan manusia terbesar di dunia berdasarkan jumlah isipadu air. Empangannya mula dibina pada September 1956 dan memulakan operasi pada 17 Mei 1960.

Panjangnya mencecah 282 kilometer, lebarnya 32 kilometer dengan kedalaman sehingga 120 meter.

Luas permukaan tasik adalah 5,580 kilometer persegi, kira-kira tujuh kali ganda keluasan negeri Perlis.

Isipadu airnya adalah 185 billion meter padu pada satu-satu masa, cukup untuk membekalkan keperluan air di bandar raya London selama 300 tahun.

Dibina atas Sungai Zambezi yang menjadi sempadan semula jadi antara Zimbabwe dan Zambia, fungsi utama empangan ini adalah untuk menjana kuasa elektrik secara hidro.

Legenda

Seperti mana hebatnya legenda naga Tasik Chini, Tasik Kariba juga mempunyai mitosnya yang tersendiri.

Nyami Nyami, atau Nyama Nyama yang membawa maksud 'daging' adalah dewa kaum Tonga, penduduk asal di sepanjang sungai Zambezi.

Rupanya mungkin ngeri untuk dibayangkan. Berkepala ikan dan berbadan ular namun ia tetap dipuja kerana kebaikannya kepada masyarakat setempat.

Menurut kepercayaan Tonga, jika penduduk mengalami masalah kekurangan makanan, Nyami Nyami akan membenarkan penduduk "memotong sedikit daging dari perutnya" untuk dijadikan makanan.

Pembinaan empangan menyebabkan dewa ini marah kerana tempat tinggalnya telah diganggu. Dia akhirnya dipercayai mengutuskan banjir dan beberapa siri gempa bumi hingga mengganggu kelancaran pembinaan.

Selepas beberapa tahun, Nyami Nyami dikatakan merela pembinaan empangan dan sejak itu tidak lagi kelihatan. Namun masyarakat tempatan percaya ia masih tinggal di tasik ini.

Lawatan ke benua Afrika bagaikan tidak lengkap tanpa ekspedisi melihat hidupan liar di habitatnya sendiri.

Perjalanan kira-kira dua jam mengguna trak menyelusuri laluan yang digunakan pelbagai haiwan.

Saat paling menarik apabila sekawan gajah muncul secara tiba-tiba untuk melintas jalan. Kenderaan terpaksa diberhentikan bagi memberi laluan kepada haiwan tersebut.

Secara tiba-tiba kenderaan yang dinaiki dikelilingi kira-kira 20 ekor gajah. Rasa cemas pun ada, takut kalau ada yang tiba-tiba 'naik minyak'.

Menurut pemandu pelancong, Simba Chimbangu, 35, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Asalkan tidak diganggu, gajah Afrika, atau nama saintifiknya laxodonta Africana' tidak akan menyerang.

Tiba di gigi air, bertemu pula dengan sekawan kuda belang. Tidak jauh dari situ, kelihatan pula sekawan rusa Impala.

"Ini kali kedua saya di sini. Kali pertama adalah pada 2010... hadir di sini sahaja sudah cukup untuk buktikan segala pandangan pesimis (terhadap Kariba dan Zimbabwe) ternyata salah," ujar Sydney Katunga Phiri, Produser Kanan di SABC Channel Africa, sebuah stesen radio berpangkalan di Afrika Selatan.

"Kariba adalah satu keajaiban," kata Craig Bennett yang mewakili syarikat Reservations Frontline yang menjalankan perkhidmatan feri di sepanjang Sungai Zambezi.

Dia turut berpendapat Tasik Kariba adalah pintu masuk yang sempurna untuk percutian di atas bot atau melihat hidupan liar.

Pemilik portal Africa A-Z, Jenny McGregor pula berpendapat, Kariba adalah destinasi hebat untuk para pelancong dengan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan di sini seperti rumah bot dan tempat penginapan yang memenuhi kemampuan bajet pelbagai golongan.

Dengan kelebihan ini, pelbagai pakej berbulan madu, pelancongan keluarga, aktiviti memancing dan lain-lain tersedia ada.

Pengalaman berada di Kariba membuka mata terhadap industri pelancongan Zimbabwe yang sering dikaitkan dengan berita negatif akibat propaganda pihak tertentu. -Bernama



Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger