1News Online:
Home » , , » Di Matteo ubah taktikal

Di Matteo ubah taktikal

Tuesday, November 20, 2012 | 11:13 AM

LONDON - Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo mencabar barisan pemain skuad The Blues untuk mempamerkan aksi terbaik meskipun terpaksa bermain tanpa kelibat kapten, John Terry.
Di Matteo menyuarakan cabaran itu menjelang aksi Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara menentang Juventus di Stadium Juventus awal pagi esok.

Pengendali kelahiran Itali itu turut dilaporkan sudah bersedia untuk melakukan perubahan taktikal terutama di benteng pertahanan dalam misi menjadikan Chelsea sebagai sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan.
Beliau terpaksa melakukan perubahan itu selepas menyaksikan anak-anak buahnya tewas mengejut 1-2 kepada West Bromwich Albion dalam saingan Liga Perdana England, Sabtu lalu.
Chelsea memboloskan 18 gol sepanjang lapan perlawanan dalam semua pertandingan.
Lebih memalukan, juara Eropah itu sekadar mengutip dua mata daripada empat perlawanan terakhir liga domestik.
Ketiadaan Terry selaku tonggak pertahanan tengah pada pertemuan menentang Juventus memberi tamparan hebat buat skuad The Blues.
Terry terpaksa berehat selama tiga minggu kerana mengalami kecederaan sebaik menamatkan hukuman penggantungan sebanyak empat perlawanan.
"Apabila pintu gol kami tidak dibolosi, ia akan memberi peluang yang cerah untuk kami mencatat kemenangan. Jadi, kami perlu memperbaiki kelemahan dalam aspek itu.
"Benteng pertahanan kami masih belum mantap. Kami akan kehilangan khidmat Terry. Dia merupakan seorang pemain yang penting.
"Dia memberikan kami keyakinan di benteng pertahanan dan sebagai kapten pasukan.
"Memang suatu yang malang apabila Terry mengalami kecederaan tetapi kami perlu beraksi dengan baik tanpa Terry sehinggalah dia kembali dalam kesebelasan utama," kata Di Matteo. - Agensi
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger