KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah filem Farid Kamil Zahari
menafikan dakwaan kononnya dia cuba mengelak daripada berjumpa pihak media
selepas isterinya aktres Diana Danielle mendedahkan berita kehamilannya pada
Isnin lalu.
Farid, 31, berkata, dia mendiamkan diri dan tidak menjawab
panggilan media kerana berasa terkejut dengan kehamilan Diana yang berlaku
dalam tempoh kurang sebulan daripada tarikh pernikahan mereka.
“Saya tidak mendiamkan diri atau cuba mengelak daripada
media selepas berita kehamilan itu didedahkan Diana kepada khalayak.
“Cuma saya menjadi tergamam kerana tidak sangka dia
mengandung secepat itu. Saya tidak kecoh-kecoh sebab ia masih terlalu awal,”
katanya.
Farid berkata demikian ketika ditemui mStar Online selepas
previu filem terbaharu lakonannya berjudul Lagenda Budak Setan 2: Katerina
(LBS2) di GSC Pavilion, Bukit Bintang di sini, pada Jumaat.
Pada Isnin lalu, Diana mendedahkan dia hamil selepas 16 hari
bernikah menerusi laman sosial Twitter dan Instagram miliknya.
Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada 3 November lalu
dalam sebuah upacara ringkas di Hotel Flamingo by The Lake, Ampang dekat sini.
Farid berkata, pada awalnya dia berasa keliru dengan berita
itu dan mengambil pendekatan untuk menghadapinya dengan tenang.
“Saya ambil pendapat kawan-kawan dan orang-orang lebih
berpengalaman apabila Diana memaklumkan dia hamil, di mana saya tidak mahu
terlalu seronok dan teruja kerana ia masih terlalu awal.
“Apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak mahu terlalu berharap
cuma mendoakan yang terbaik sahaja,” katanya.
Ketika ditanya adakah dia sudah membawa Diana melakukan
pemeriksaan susulan, Farid berkata, mereka tidak berbuat demikian kerana ia
masih terlalu awal.
“Kami bernikah pun belum sampai sebulan. Masih terlalu awal
rasanya untuk membuat pemeriksaan walaupun alat penguji kehamilan menunjukkan
Diana mengandung.
“Buat masa ini biarlah dulu sebab kehamilan itu masih baru.
Lagi pun kami sedang pening kepala dengan persiapan menjelang majlis resepsi
pada 1 dan 12 Disember depan,” katanya.
Sementara itu, dalam bahagian kedua filem LBS ini, Farid
yang kembali menggalas peranan sebagai Kashah terus diuji dengan kehadiran
Katerina (Maya Karin) yang cuba mencuri hatinya serta kehilangan beberapa
individu penting dalam hidupnya.
Filem yang turut dibintangi antaranya Bront Palarae, Azri
Iskandar dan Sheila Mambo ini akan ditayangkan bermula 29 November ini.
+ comments + 2 comments
cepat nye lahaii ,x yh bersanding la klu mcm tu.
terkejut pulak
Post a Comment