1News Online:
Home » , , » Giroud mahu Henry sertai Arsenal

Giroud mahu Henry sertai Arsenal

Wednesday, November 28, 2012 | 9:11 AM


London - Olivier Giroud menggalakkan pengurus Arsenal, Arsene Wenger untuk menyerapkan Thierry Henry ke dalam skuad mereka Januari ini, menjelang kunjungan Gunners ke Everton untuk aksi Liga Perdana Inggeris, esok.

Henry yang kini beraksi bersama New York Red Bulls menyertai latihan bersama Arsenal bagi mengekalkan kecergasannya semasa Liga Bola Sepak Utama (MLS) sedang berehat dan Wenger membayangkan kemungkinan akan mendapatkan penyerang itu secara pinjaman.


Henry, pemegang rekod penjaring terbanyak Arsenal, melakukan perkara sama musim lepas dan Giroud berkata, dia ternanti-nanti peluang untuk bergandingan dengan pemain berusia 35 tahun itu, jika teman senegaranya itu bersetuju menyertai kelab buat kali ketiga.

"Henry rindukan kemeriahan Liga Perdana. Tetapi dia tidak pula memberitahu saya yang dia akan kembali. Tentu seronok jika dapat bermain dengannya," kata Giroud kepada akhbar sukan Perancis, L'Equipe.

Bagaimanapun, kebimbangan Wenger kini adalah lebih kepada kunjungan pasukannya ke Goodison Park untuk bertemu Everton, di mana mereka akan cuba mendapatkan kembali rentak kemenangan selepas aksi mengecewakan hujung minggu lalu setelah seri tanpa jaringan di Aston Villa.

Keputusan pengurus menggantikan Giroud dengan pemain tengah, Francis Coquelin telah membangkitkan kemarahan di kalangan penyokong.

Giroud bakal kembali ke dalam kesebelasan utama di Everton, yang mana dia berharap akan dapat mengekalkan peningkatan permainannya sejak beberapa minggu lalu selepas mempamerkan aksi mengecewakan pada pembukaan musim.

"Saya perlu membaiki permainan saya. Saya kena bersabar dan bekerja keras. Apabila anda menyertai kelab baharu, anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan pasukan berkenaan. Malah, Thierry Henry mengalaminya," katanya.

Jack Wilshere kekal sebagai pemain gantian yang tidak digunakan di Villa dan Wenger mengakui pemain tengah itu mengalami masalah radang pada buku lalinya yang bermasalah sehingga menyebabkan dia terpaksa diketepikan selama 17 bulan.

"Pertama, saya lega dia tidak berdepan dengan sebarang halangan untuk kembali beraksi. Dia mengalami masalah radang pada tisu parut di kakinya tetapi tidak serius. Masalah itu kecil sahaja. Selebihnya, dia telah melakukan dengan baik (rawatan).

"Dia tidak bermain selama 17 bulan. Orang lupa mengenai hal itu. Selama 17 bulan, untuk sebuah karier ia amat penting. Tetapi saya gembira melihat perkembangannya yang semakin positif," kata Wenger.

Kegagalan Arsenal menewaskan Villa bermakna mereka hanya satu mata di belakang Everton di kedudukan keenam dan pemain pertahanan, Carl Jenkinson mengakui perlawanan tersebut amat penting buat Gunners.

"Kami mengharungi setiap perlawanan dengan tujuan untuk menang. Sabtu lalu (di Villa) nasib tidak menyebelahi kami, tetapi kami bakal mengharungi perlawanan penting menentang Everton. Tiada apa yang hendak disembunyikan, kami perlu menang perlawanan itu," kata Jenkinson. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger