1News Online:
Home » , , » Gunners sudah bangkit

Gunners sudah bangkit

Monday, November 19, 2012 | 11:25 AM


LONDON - Arsene Wenger percaya kemenangan 5-2 yang dicatat Arsenal ke atas pasukan jiran, Tottenham kelmarin adalah petanda Gunners sudah bangkit dan bersedia keluar daripada permulaan musim yang perlahan.

Wenger beberapa kali menolak untuk mengibarkan bendera putih lebih awal dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris, meskipun pasukannya tumpas dalam beberapa perlawanan yang tidak diduga pada awal musim.

Pengurus Gunners itu juga berharap, kemenangan ke atas kelab bimbingan Andre Villas-Boas akan menyuntik keyakinan tambahan kepada anak-anak buahnya untuk mengharungi saingan yang masih panjang.

Arsenal sebelum ini tewas ketika menentang Schalke (Liga Juara-Juara Eropah) dan Fulham (Liga Perdana), selain kecundang 2-1 kepada Manchester United di Old Trafford.

"Saya rasa selepas dua keputusan buruk yang kami peroleh ketika menentang Schalke dan Manchester United, tahap keyakinan pemain jatuh merudum.

"Sekarang, amat penting untuk kami memperoleh keputusan positif bagi mengembalikan semula keyakinan kerana pasukan ini sungguh istimewa.

"Kami perlu menstabilkan keinginan kami selain perlu lebih banyak masa untuk bekerja keras," kata Wenger.

Pada aksi kelmarin, Emmanuel Adebayor memperoleh jaringan buat Spurs pada minit pertama, namun Per Mertesacker berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Lukas Podolski menambah jaringan kedua Gunners pada minit ke-42 sebelum Olivier Giroud menjarakkan kedudukan 3-1 untuk Arsenal pada minit ke-45.

Babak kedua menyaksikan Santi Cazorla menambah derita Tottenham untuk gol keempat Arsenal pada minit ke-60, tetapi Gareth Bale mendapatkan jaringan kedua Spurs pada minit ke-71.

Gol kemenangan Arsenal dijaringkan oleh Theo Walcott pada masa kecederaan. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger