1News Online:
Home » » Hidangan segar Baba & Nyonya

Hidangan segar Baba & Nyonya

Monday, November 12, 2012 | 8:10 PM


KEBIASAANNYA sesebuah restoran akan menyajikan hidangan istimewa dengan mengekalkan resipi asli untuk memastikan sajian mereka menarik perhatian dan digemari ramai.

Namun dalam keadaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, kini menjadi trend di sesebuah restoran menawarkan hidangan pelbagai konsep, sesuai dengan cita rasa pengunjung.

Nyonya Valley yang terletak di Cyberjaya Garden, Cyberjaya merupakan antara restoran yang menyajikan hidangan asli keturunan Baba dan Nyonya dengan turut menawarkan masakan India (mamak) dan selatan Thailand.

Tentunya menu yang ditawarkan di restoran eksklusif itu mempunyai sedikit kelainan berbanding dengan masakan Baba dan Nyonya di Melaka.

Ini kerana di Nyonya Valley, hidangannya tertumpu kepada resipi Baba dan Nyonya Pulau Pinang yang tidak dapat lari daripada pengaruh masakan mamak dan selatan Thailand.

Ditanya perbezaan masakan Baba dan Nyonya di Pulau Pinang dengan negeri lain, Pengurus Besar restoran tersebut, Muzahhir Abdullah (gambar) menekankan perbezaan rasa pedas dan manis masakan yang dihidangkan di Nyonya Valley.
Menurutnya, bahan-bahan yang digunakan dalam masakan di restoran itu telah dicampur aduk dengan ketiga-tiga bahan daripada masakan tersebut sehingga mencetuskan aroma tersendiri.

Sungguhpun begitu, katanya, dalam masa yang sama, keaslian masakan Baba dan Nyonya tetap dipertahankan.

Beliau menjelaskan, gabungan bahan asas daripada ketiga-tiga masakan tersebut dilakukan bagi menyesuaikannya dengan cita rasa penduduk tempatan, selain memenuhi selera pengunjung antarabangsa yang sentiasa memenuhi ruang makan di restoran itu, terutama pada waktu makan tengah hari.

Restoran yang beroperasi pada pukul 11 pagi sehingga 11 malam itu dibuka pada 1 Ogos tahun lalu. Selain di Cyberjaya, Nyonya Valley mempunyai cawangan di Ukay Boulevard, Selangor dan Taman Segar, Kuala Lumpur.

Menurut Muzahhir, antara masakan yang popular di restoran itu adalah kari kepala ikan, char kuetiau, hee bee butler prawn, nyonya otak-otak, nyonya deepfried tofu dan kambing panggang.

Keenakan masakan popular katanya tidak lengkap tanpa minuman seperti soya dan ais kacang, selain jus buah-buahan segar.
''Bahan masakan yang kami gunakan dihasilkan sendiri oleh tukang masak kami dan mereka turut menggunakan ramuan lain yang boleh menyedapkan lagi masakan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan kesegaran hidangan yang disediakan, semua hidangan dimasak apabila dipesan sahaja.

''Tidak dinafikan pendekatan itu mengambil sedikit masa tetapi kami percaya para pelanggan akan berpuas hati apabila menikmati hidangan yang mereka pesan.

''Sebab itulah, kami menyarankan agar para pelanggan membuat tempahan awal supaya hidangan yang dipesan itu dapat disediakan lebih awal," katanya.

Sempena sambutan ulang tahun pertama restoran itu, pihaknya mengadakan promosi potongan harga 50 peratus untuk 20 hidangan terpilih bermula pukul 3 petang hingga 10 malam.

Promosi sah sehingga akhir November ini dan sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 03-42602728.

Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger