1News Online:
Home » » Ibu hamil awas diabetes

Ibu hamil awas diabetes

Thursday, November 29, 2012 | 10:41 AM



Dalam hal ini, tidak terkecuali bagi ibu-ibu yang mengandung malah golongan ini bukan sahaja perlu memastikan janin yang dikandung sihat, mereka juga disaran agar menjaga kesihatan diri masing-masing sepanjang tempoh sembilan bulan tersebut.

Ini kerana ketika inilah pelbagai jenis penyakit mudah 'melekat' tatkala perubahan hormon di dalam badan berlaku.

Tidak dinafikan kehamilan adalah suatu pengalaman unik bagi wanita, begitupun ia pastinya menjadi satu igauan ngeri apabila diri disahkan menghidap kencing manis ataupun darah tinggi ketika mengandung.

Menurut Naib Presiden Kanan, Operasi Antarabangsa Serantau, Novo Nordisk, Jesper Hoiland, di Malaysia angka yang ditunjukkan di kalangan ibu mengandung menghidap kencing manis semakin meningkat malah angka tersebut merupakan satu angka yang tinggi.

Tambah beliau, ditambah pula dengan rutin hidup yang tidak sihat, tiada senaman dan kurang pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran menjadi antara risiko penyebab penyakit ini di kalangan ibu-ibu mengandung.

"Di Malaysia, angka penghidap kencing manis atau diabetes di kalangan ibu mengandung boleh dikatakan semakin kritikal.

"Ini merupakan satu masalah besar di kalangan masyarakat hari ini dan ibu mengandung yang menghidap diabetes berisiko tinggi mempunyai berat badan yang berlebihan.

"Kesan gaya hidup tidak sihat ini sememangnya tidak dapat dilihat pada jangka masa pendek malah diabetes hanya diketahui apabila seseorang itu menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan oleh doktor," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Oleh yang demikian bagi mengurangkan masalah tersebut, pihaknya (syarikat farmaseutikal dan peneraju penyakit diabetes, Novo Nordisk) kini dalam perancangan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa atau kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini di kalangan penduduk Malaysia terutama sekali ibu-ibu mengandung.

Melalui perancangan tersebut, pihaknya akan mengadakan beberapa siri program dalam usaha memberi kesedaran di samping meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai penyakit diabetes ini.

Berbalik kepada peningkatan jumlah penghidap diabetes ketika mengandung ulas Jesper, semasa mengandung, hormon yang dikeluarkan oleh uri (plasenta) mengganggu keberkesanan insulin dan hasilnya hiperglisemia mungkin berlaku.

Katanya lagi, lazimnya diabetes yang berlaku semasa mengandung akan hilang selepas kelahiran, namun risiko untuk mendapat kencing manis pada masa hadapan adalah tinggi.

Untuk itu sekiranya mereka (ibu mengandung) pernah mendapat rawatan kencing manis semasa mengandung maklumkan kepada doktor atau jururawat untuk tindakan selanjutnya.

Harus diingat bahawa risiko kencing manis meningkat dengan peningkatan umur semasa mengandung.

Bagaimanapun Jesper menjelaskan, diabetes ketika mengandungi tidak semestinya hanya akan dihidapi oleh mereka yang mempunyai sejarah keluarga malah penyakit ini turut 'menyerang' mereka yang tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes.

Ulasnya lagi, semasa mengandung, sekiranya pesakit memerlukan perawatan untuk kencing manis, ubat suntikan insulin boleh diberikan dan ia tidak membahayakan kandungan dan juga kesihatan.

Begitupun, beliau menasihatkan agar pesakit mengubah corak pemakanan dan gaya hidup juga perlu diberi perhatian.

"Amalkan senaman kerana ia amat bermanfaat untuk individu yang belum atau pun sudah menghidap diabetes.

"Senaman itu penting untuk mereka yang berpenyakit kencing manis dan bagi ibu mengandung mereka boleh juga bersenam seperti berjalan-jalan serta melakukan senaman ringan lain.

"Selain itu pemakanan seimbang juga penting kerana tumbesaran janin bergantung pada pemakanan ibu dan perlu ditegaskan pemakanan yang diambil perlu diimbangkan supaya paras gula tidak naik melebihi normal," katanya. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger