1News Online:
Home » , , » Ikut gaya Rafa atau tinggalkan Chelsea

Ikut gaya Rafa atau tinggalkan Chelsea

Wednesday, November 28, 2012 | 9:14 AM



LONDON - Petr Cech semalam menggesa rakan sepasukannya agar mengikut rentak jurulatih baru, Rafael Benitez atau tinggalkan sahaja kelab London itu jika mereka tidak menyukainya.

Penjaga gol Blues itu menegaskan, kegagalan pemain adalah punca Roberto Di Matteo dipecat dan sekarang terpulang kepada mereka untuk meredakan perasaan benci terhadap Benitez yang menyelubungi penyokong Chelsea.

Benitez diejek dan disambut dengan kebencian oleh penyokong sendiri ketika membimbing pasukan itu buat kali pertama dalam perlawanan menentang Manchester City, Ahad lalu.

"Kalau anda rasa ia (pemecatan Di Matteo) adalah sesuatu yang kejam buat pemain, sekarang anda perlu menerima perubahan yang berlaku atau tinggalkan sahaja pasukan jika tidak suka. Begitulah reaksi yang patut ditunjukkan oleh semua pemain, ia cukup mudah.

"Kita datang ke sini untuk bermain, jadi kita harus buat apa yang kelab dan pengurus mahu kita lakukan. Kalau anda tidak suka, maka anda boleh pergi.

"Saya datang ke sini untuk bermain, saya mahu main dan akan melakukan apa saja untuk menyakinkan pengurus supaya memilih saya.

"Itu cara saya bekerja dan ia sepatutnya dipraktikkan oleh semua orang juga kerana kalau anda terus berduka dan tidak melakukan perkara yang betul, anda akan menamatkan hari anda di bangku simpanan, itu lebih mengecewakan," ujar Cech.

Gesaan Cech itu dibuat sehari sebelum pasukannya menerima kunjungan Fulham di Stamford Bridge hari ini, perlawanan yang harus dimenangi andai mereka mahu terus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Ia adalah perlawanan kedua buat bekas jurulatih Liverpool, Benitez sejak mengambil alih Chelsea daripada Di Matteo, yang dipecat minggu lalu gara-gara kekalahan 0-3 pasukannya kepada Juventus dalam Liga Juara-Juara, selain keengganannya menyenaraikan Fernando Torres dalam perlawanan tersebut.

Benitez diejek penyokong sendiri yang tidak mengalu-alukan kedatangannya di London ketika pasukannya seri tanpa jaringan dengan City.

"Saya tidak begitu pedulikan sorakan penonton. Kami tahu ada sejarah, tetapi dia (Benitez) datang ke sini untuk memperbaiki keadaan kelab dan mahu membantu.

"Dia hanya boleh melakukannya dengan memberi keputusan yang baik.

"Sekarang, terpulang kepada kami. Kami perlu terus mencatat keputusan baik untuk menukar fikiran peminat.

"Saya rasa, pengurus berhak diberi peluang kerana seperti semua pengurus yang menyertai sesebuah kelab, mereka hanya mahukan kejayaan dan menggembirakan peminat,'' tambah Cech. - AGENSI
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger