1News Online:
Home » » Israel akan tingkatkan serangan

Israel akan tingkatkan serangan

Monday, November 19, 2012 | 9:59 AM



GENTING GAZA - Pihak Israel mengancam untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza, biarpun usaha gencatan senjata giat dijalankan bagi menghentikan serangan yang memasuki hari kelima semalam.
Bedilan tentera Israel telah meragut enam lagi nyawa yang terdiri daripada tiga orang kanak-kanak dan seorang bayi berusia 18 bulan.
Angka korban terbaharu itu kini menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terkorban meningkat kepada 52 orang.
Serangan udara yang dilakukan turut menggegarkan dua pusat media di bandar ini menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang wartawan cedera dan salah seorang kehilangan kaki, kata jurucakap kesihatan, Ashraf al-Qudra kepada agensi berita AFP.
Sementara stesen televisyen Rusia, RT memberitahu pejabatnya di Genting Gaza musnah dalam serangan yang dilakukan semalam. Namun semua kakitangannya selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Luar Britain, William Hague memberi amaran, tindakan Israel menceroboh Genting Gaza akan menyebabkan simpati dan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap Israel hilang.
Hague memberitahu stesen televisyen Sky News, korban orang awam akan meningkat jika serangan darat dilakukan dan ia hanya memanjangkan tempoh konflik.
Komen beliau hadir selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas.
Di Tel Aviv, bunyi siren terus kedengaran bagi memberi amaran kepada pejalan kaki dan pemandu kereta supaya mendapatkan perlindungan daripada serangan yang dilakukan oleh pejuang Hamas.
Tujuh buah roket telah dilancarkan ke arah Tel Aviv sejak Khamis lalu. Tiga daripadanya meletup di laut, tiga lagi dipintas oleh sistem perisai Iron Dome dan satu lagi mengenai kawasan lapang. - Agensi


Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger