1News Online:
Home » » Keluarga guru sedih hilang kucing

Keluarga guru sedih hilang kucing

Friday, November 16, 2012 | 4:27 PM



KUCHING - Seorang guru bukan saja sedih malah kerugian RM3,000 apabila tiga ekor kucing Parsi yang menjadi kesayangan keluarga dicuri dari rumahnya yang terletak di Jalan Astana, Petra Jaya di sini semalam.
Kehilangan seekor kucing jantan yang diberi nama Bluey dan dua ekor kucing betina - Garfield danCocca merupakan kejadian kedua dalam tempoh dua minggu selepas seekor kucing jenis sama yang dipanggil Kiki hilang.
Dalam kejadian terbaharu, Harun Abdul Jabar, 38, berkata, kehilangan BlueyGarfield dan Cocca yang berusia empat bulan sehingga setahun dilarikan oleh dua lelaki kira-kira pukul 12.30 pagi.
Kelibat dua pencuri terbabit yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan rumah dua tingkat miliknya.
Semasa kejadian, Harun, isterinya, Syarifah Linora Wan Zain, 39, dan tiga orang anak lelaki pasangan itu yang masing-masing berusia 9, 11 dan 12 tahun sedang tidur.
Harun memberitahu, kejadian tersebut disedari pukul 7 pagi selepas dia ternampak pintu sangkar yang menempatkan sembilan ekor kucing peliharaannya di depan rumah terbuka selepas dipotong.
"Rakaman CCTV menunjukkan imej sebuah motosikal berhenti berhampiran rumah jiran sebelum pembonceng motosikal itu memanjat pagar dan masuk ke halaman rumah saya.

"Lelaki itu yang memakai baju berwarna biru serta bertopi keledar dilihat memotong sangkar kucing saya setinggi dua meter sebelum membawa lari BlueyGarfield dan Cocca," kata Harun ketika ditemui di sini.
Penjawat awam itu berkata, menerusi rakaman itu juga seorang lagi suspek iaitu penunggang motosikal yang berbaju kelabu menunggu di luar rumahnya.
Harun percaya kedua-dua suspek terbabit merupakan orang sama yang mencuri Kiki, seekor kucing jantan berusia lapan tahun dua minggu lalu.
"Dalam tempoh dua minggu, sudah empat ekor kucing kami hilang dan menyebabkan saya kerugian hampir RM4,000.
"Saya sekeluarga amat sedih dengan kehilangan haiwan kesayangan kami kerana semuanya manja sehinggakan kami menganggap haiwan itu seperti anggota keluarga sendiri," katanya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Muara Tebas di sini.
Katanya, dia percaya kucing-kucing tersebut menjadi sasaran pencuri itu kerana harganya di pasaran boleh mencecah ribuan ringgit seekor kerana mempunyai penampilan fizikal seperti bulu yang halus dan rupa yang cantik.
"Seekor kucing Parsi berusia enam bulan yang cantik boleh mencecah harga RM600 seekor," kata Harun.
Berikutan kejadian itu, kata Harun, dia membuat laporan polis dengan turut menyerahkan rakaman CCTV di Balai Polis Gita, Petra Jaya di sini.


Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger