1News Online:
Home » , , » Krisis iringi Blues ke Turin

Krisis iringi Blues ke Turin

Tuesday, November 20, 2012 | 11:19 AM



LONDON - Roberto Di Matteo terpaksa menangani suasana tegang dan pergaduhan dalam bilik persalinan Chelsea apabila membawa pasukannya berkunjung ke Turin untuk menentang gergasi bola sepak Itali, Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah hari ini.

Jeritan dan sumpah seranah pemain yang memarahi satu sama lain adalah suasana yang berlaku dalam bilik persalinan Blues sejurus juara Eropah itu kalah 2-1 kepada West Brom dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Penjaga gol, Petr Cech mengeluarkan kata-kata kesat terhadap benteng pertahanan yang beraksi buruk dan ketika itu kedengaran seorang pemain menjerit "Semua itu sampah."

Menurut sumber dalaman Chelsea, pada masa yang sama Di Matteo turut menjerit ke arah pemainnya: "Kamu gelar diri kamu sebagai juara Eropah tetapi mereka pun (West Brom) kamu tidak boleh kalahkan."

Tonggak pertahanan Brazil, David Luiz mengakui kekalahan kepada West Brom menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan pemain yang merasakan mereka sepatutnya mampu memenangi perlawanan tersebut.

"Ya, kami sangat marah dan terganggu. Ia mengecewakan kerana kami sepatutnya memenangi perlawanan itu.

"Apakah pemain meninggikan suara adalah perkara biasa ? Sudah tentu ia perkara biasa. Kami adalah kelab besar dan kami tidak suka kalah dalam perlawanan."

Sama ada ia situasi biasa atau tidak, kekalahan Sabtu lalu menimbulkan keraguan terhadap keupayaan dan semangat Chelsea apabila berkunjung ke Turin untuk pertemuan yang harus dimenangi jika mahu menghidupkan harapan Liga Juara-Juara.

Blues kini menghuni tangga kedua Kumpulan E, berkongsi tujuh mata dengan wakil Ukraine, Shakhtar Donetsk dan satu mata di depan Juventus. Kalah bermakna nasib mereka tidak akan ditentukan oleh mereka sendiri, malah berada di ambang bahaya menjadi penyandang juara pertama gagal melepasi peringkat kalah mati.

Di Matteo berlepas ke Turin ketika pasukannya sedang berada di tengah-tengah krisis, biarpun memulakan kempen awal musim dengan mengharungi sembilan perlawanan tanpa kalah. Cabaran terbesarnya bukan saja Juventus tetapi bagaimana dapat mencari taktik yang tepat, selain menangani masalah pemainnya.

Jurulatih kelahiran Itali itu bercadang melakukan rombakan besar pada bahagian pertahanan dan serangan, termasuk menggugurkan penyerang bernilai 50 juta pound (RM244 juta), Fernando Torres yang beraksi hambar, Sabtu lalu.

Ketika ditanya apakah dia bersedia untuk meninggalkan Torres di London, Di Matteo berkata: "Kalau saya rasa ia adalah yang terbaik untuk pasukan, maka ya.

"Saya perlu fikirkan tentang perkara itu dan perlu cari jalan yang terbaik untuk berdepan Juventus. Ia sangat mencabar apabila anda gagal memenangi perlawanan tetapi masih perlu meyakini pemain dan pasukan anda." - AGENSI
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger