1News Online:
Home » » KUWAIT ada keistimewaan tersendiri

KUWAIT ada keistimewaan tersendiri

Wednesday, November 7, 2012 | 11:27 PM


MENARA Kuwait menjadi mercu tanda yang wajib dirakamkan setiap orang yang berkunjung ke Kuwait.

JIKA menyentuh mengenai destinasi beli-belah di Asia Barat, lokasi pertama yang terlintas bagi kebanyakan daripada kita pastinya Dubai dan diikuti barangkali Doha, Qatar.

Namun peluang berkunjung ke Kuwait baru-baru ini memberi perspektif baru kerana selain dua lokasi tersebut, negara kecil di rantau Teluk itu juga seharusnya berada dalam senarai berkenaan.

Pada umumnya, Kuwait agak asing bagi rakyat Malaysia malah tidak banyak artikel atau tulisan yang menceritakan mengenai perkara menarik di negara kecil di rantau Teluk itu.

Carian di blog untuk melihat mana-mana catatan pelawat Malaysia yang pernah singgah di negara Arab itu juga agak terhad.

Justeru, kunjungan ke Kuwait baru-baru ini disertakan dengan banyak tanda-tanya tentang keadaan negara itu kecuali satu perkara yang sudah menjadi pengetahuan umum, kisah negara itu pernah ditakluk Iraq yang dilakukan Saddam Hussein.

Selainnya adalah mengenai Kuwait Dinar (KD) yang mana penulis pernah terbaca KD merupakan mata wang tertinggi di dunia dengan 1KD bersamaan kira-kira RM12.

Ini pastinya merisaukan kerana seperti mana pelawat Malaysia yang lain, membeli-belah adalah aktiviti utama yang wajib dilakukan terutama sebagai oleh-oleh dan kadar tukaran wang yang tinggi pastinya boleh membataskan hajat ini.

Namun setelah menjejakkan kaki di Kuwait, ternyata cerita berbeza kerana sama ada membeli-belah di bazar tradisi yang dikenali sebagai souq mahu pun di pusat beli-belah moden bersaiz mega, Kuwait ibarat `tidak menjadi kedua kepada mana-mana kota lain'.

Di sebalik KD yang merupakan mata wang tertinggi di dunia, ia sebenarnya tidaklah menggerunkan kerana nilai beli mata wang itu bagi 1KD juga lebih besar sehingga ada wang kertas dalam nilai suku dan setengah KD.

Malah menariknya, harga yang ditawarkan di Kuwait juga lebih murah kerana seperti negara kaya dengan minyak yang lain, Kuwait adalah destinasi bebas cukai, barangkali ia sesuatu yang asing bagi pelawat luar.

Salah satu lokasi wajib singgah jika berada di Kuwait sudah pasti Souq Al-Mubarakeya iaitu souq terbesar di bandar raya itu dan menariknya ia bersih serta selesa untuk dikunjungi selain tiada kebimbangan sama sekali mengenai jenayah jalanan. Cumanya peluang untuk merakamkan gambar agak terbatas disebabkan norma mereka yang tidak gemar perkara itu dilakukan.

Terletak di tengah-tengah bandar raya Kuwait, souq berusia lebih 100 tahun itu umpama pusat sehenti seperti mana Grand Bazaar di Istanbul kepada pelawat yang ingin mencari oleh-oleh untuk dibawa pulang terutama cenderamata, kacang, minyak wangi dan pakaian selain untuk menjamu selera makanan tradisi Arab.

Paling utama kepada pelawat beragama Islam adalah jubah yang membuatkan ramai rambang mata kerana harganya cukup meruntun untuk dibeli sama ada jubah wanita atau lelaki agar tidak teringat-ingat setelah pulang.

Masakan tidak, jubah hitam wanita corak bersulam dengan kain berkualiti boleh didapati pada harga kira-kira RM35 jika pandai tawar-menawar.

Sedangkan menurut seorang rakan wanita, jubah hitam bercorak sulam seperti itu biasanya dijual di pusat beli-belah negara kita pada harga sekitar RM90 hingga RM100.

Malah bagi yang pernah berkunjung ke kota-kota utama lain di rantau Teluk sendiri mengakui tidak akan memperoleh jubah seperti itu pada harga sebegitu rendah.

Tidak cukup dengan itu, tudung atau selendang untuk dipadankan dengan jubah juga dijual pada harga murah iaitu sekitar RM12 sahaja.

Lebih penting, jubah-jubah berkenaan adalah buatan Kuwait yang tertera pada labelnya dan bagi yang mahukan lebih gaya, pelbagai rekaan dan warna turut terdapat di souq ini pada harga lebih tinggi tetapi masih dianggap berpatutan sehinggakan ada yang tidak putus-putus menerima tempahan gara-gara menghantar MMS contoh jubah kepada kenalan di tanah air.

Tidak terkecuali apabila berada di negara Arab - minyak wangi atau atar yang sememangnya dijual dengan harga murah berserta pelbagai pilihan yang pastinya sesuai dijadikan cenderamata buat keluarga atau yang tersayang.

Selain itu, kerana populasi masyarakat Asia Selatan yang besar, pilihan pakaian dari rantau itu turut boleh diperoleh seperti di Souq Wataniah dan sekali lagi harganya masih jauh lebih murah berbanding di negara kita sehinggakan ada rakan yang membuat persiapan awal untuk keluarga sempena Deepavali bulan depan.

Di samping souq, Kuwait terkenal dengan pusat beli-belah moden yang menempatkan butik rangkaian jenama antarabangsa pada harga berpatutan antaranya The Avenues, Marina Mall dan 360 yang merupakan antara pusat beli-belah terbesar di Asia.

Tumpuan

Dengan pendapatan rakyatnya yang tinggi, pusat beli-belah ini sentiasa menjadi tumpuan ramai dan barangan jenama antarabangsa yang dijual pula adalah daripada model terkini sama seperti di Eropah mahupun Amerika Syarikat.

Seperti mana negara Islam lain, Kuwait memiliki banyak masjid yang tersergam indah antaranya Masjid Besar Kuwait selain pelbagai muzium termasuk yang menyimpan sejarah ketika penaklukan Iraq.

Ternyata peluang berada di Kuwait selama lima hari kerana membuat liputan Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) memberi satu gambaran lebih jelas terhadap negara itu, dua dekad selepas menjadi tumpuan dunia apabila diceroboh tentera Iraq - sesuatu yang tidak terlintas boleh berlaku pada zaman moden.

Namun dengan kekayaan minyak yang ada, negara kecil di rantau Teluk itu bingkas bangun melupakan peristiwa hitam tersebut untuk bersaing dengan negara lain di rantau itu dari sudut ekonomi.

Dengan dana yang besar, Kuwait pastinya mengorak langkah menempatkan namanya di peta dunia termasuk dari sudut pelancongan yang dapat dilihat menerusi kesungguhan negara itu menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa - usaha yang pasti menaikkan reputasi Kuwait di mata dunia.

Usaha ini dipermudahkan kerana masyarakatnya yang terbuka sama ada dari segi pakaian mahupun komunikasi yang berjaya menjadikannya mesra pelawat biarpun hiburan dan minuman beralkohol tidak dijual sama sekali.

Maka tidak hairan hotel-hotel lima bintang bertaraf antarabangsa selain taman tema tumbuh bagaikan cendawan di bumi Kuwait sejajar dengan kepesatan ekonominya selaku antara negara yang mempunyai rizab minyak terbesar di dunia.

Malah perjalanan menyelusuri Jalan Teluk Arab yang terletak di pesisir pantai memberi satu panorama mengagumkan dengan deretan rangkaian resort dan restoran jenama antarabangsa termasuk sebuah kafe yang sering menjadi tumpuan orang kita kerana baju T dan cenderamatanya membuatkan Kuwait kota metropolitan yang menarik dan hidup untuk dilawati.

Di kawasan tersebut juga menjadi marina kepada bot-bot milik persendirian yang berlabuh bagaikan senario di kota-kota pelancongan di Eropah dan Mediteranean yang membuatkan rakan penulis dari Kota Kinabalu, Md. Fairuz asyik dengan kameranya.

Dari jauh kelihatan bangunan pencakar langit dengan seni bina tersendiri berlatarbelakangkan pesisir pantai menggambarkan masa depan Kuwait yang cukup gemilang, meninggalkan peristiwa dua dekad lalu untuk mengorak langkah, maju menjadi salah satu bandar raya utama di Asia.


Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger