1News Online:
Home » » Malang berganda dua penyamun

Malang berganda dua penyamun

Saturday, November 10, 2012 | 1:09 AM


ALOR GAJAH – Malang bagi dua penyamun apabila bukan sahaja gagal dalam dua cubaan samun malah mereka diberkas selepas kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki terlibat dalam kemalangan satu jam kemudian di Kelemak di sini kelmarin.
Bersama suspek berusia 19 dan 25 tahun itu, polis menemui sebilah parang panjang yang disyaki digunakan dalam cubaan samun tersebut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kejadian pertama berlaku pukul 11.30 malam apabila suspek cuba menyamun seorang pemilik kafe siber di Kelemak di sini yang hendak menutup premisnya.
Katanya, mangsa bagaimanapun terselamat apabila berjaya melarikan diri sebelum suspek cuba pula menyamun sekumpulan lelaki yang berada berdekatan tempat tersebut.
“Cubaan kedua itu pun gagal apabila kesemua mangsa dapat melarikan diri. Salah seorang mangsa kemudian membuat laporan polis selepas mendapati telefon bimbitnya tercicir ketika hendak melarikan diri.
“Polis yang menjalankan siasatan kemudian menerima maklumat mengatakan terdapat satu kemalangan tidak jauh dari tempat kejadian pada pukul 12.30 tengah malam dan apabila disiasat, kami dapati mereka merupakan penjenayah yang terlibat dalam kedua-dua cubaan samun tersebut,” katanya pada sidang akhbar.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mereka terbabas selepas gagal mengawal kenderaan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. Pemeriksaan kemudian menemui sebilah parang panjang yang digunakan untuk menyamun.
Menurut Umar Ali, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dengan penangkapan suspek.
Kedua-dua suspek yang cedera ringan itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger