1News Online:
Home » , , » Masalah kecederaan hantui Man. United

Masalah kecederaan hantui Man. United

Wednesday, November 28, 2012 | 9:06 AM



MANCHESTER - Bintang pemain tengah, Anderson mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Manchester United yang tempang gara-gara masalah kecederaan dan penggantungan apabila melayan kunjungan West Ham di Old Trafford, awal pagi esok.

Pengurus United, Alex Ferguson gusar memikirkan beberapa keputusan dalam skuad yang bakal dipertaruhkan dengan bahagian tengah dikenal pasti sebagai paling bermasalah.

Paul Scholes digantung perlawanan selepas mengutip kad kuning terbaharu semasa menentang QPR, sementara Darren Fletcher pula berkemungkinan direhatkan kerana Ferguson tentunya tidak mahu membebani pemain tonggak Scotland itu yang baru kembali daripada masalah kesihatan serius.

Pemain sayap, Antonio Valencia juga dijangka tidak dapat memainkan peranan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan pinggang, begitu juga Nani dengan masalah otot paha.

Bagaimanapun, segala masalah yang melanda United itu sebenarnya satu hikmah untuk Anderson secara peribadinya.

Pemain Brazil berusia 24 tahun itu bergelut untuk mendapat kepercayaan Ferguson sejak berhijrah ke United dari Porto pada 2007, akibat kekerapan dia ditimpa kecederaan dan kurang fokus ketika beraksi.

Dia beraksi hanya 60 kali dalam perlawanan liga sepanjang lima tahun bersama United, dan pada kempen musim ini baru hanya sekali.

Namun, aksi bertenaga sebagai pemain gantian ketika membantu United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menang 3-1 Sabtu lalu, telah mendapat perhatian Ferguson.

Ferguson mempunyai pilihan untuk menggandingkan dia sama ada dengan Tom Cleverley, Michael Carrick, Nick Powell mahupun Ryan Giggs.

United terdesak untuk mengelak daripada terus diaibkan dengan situasi dibolosi gol pendahuluan oleh lawan.

Untuk musim ini sahaja, Red Devils terpaksa mengejar dalam sembilan daripada 13 perlawanan liga yang dilalui.

Pun begitu, mereka tetap berupaya bangkit mengubah keadaan itu dan mengutip 18 mata daripadanya. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger