1News Online:
Home » » Menghirup angin malam di MBI Terrace

Menghirup angin malam di MBI Terrace

Tuesday, November 27, 2012 | 8:27 PM




DATARAN Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang terletak di tengah pusat bandar sememangnya cukup popular di kalangan warga bandar raya Ipoh, Perak.

Terletak bersebelahan Pusat Perniagaan Greentown, ia menjadi lokasi persinggahan penggemar kereta setiap malam minggu bagi melihat pengubahsuaian sistem audio serta reka bentuk dalaman kenderaan.

Perkara yang membezakan Dataran MBI dengan dataran lain ialah kewujudan 'MBI Terrace' - deretan gerai makanan yang hanya dibuka pada lewat petang sehingga awal pagi.

Uniknya, kesemua 17 gerai yang ada di situ ada menjual juadah char kuey teow selain pelbagai menu lain di medan selera yang berkonsepkan terbuka.

Walaupun hanya terletak beberapa meter dari sebuah restoran kopitiam terkemuka, MBI Terrace yang dibuka di atas tapak tempat letak kenderaan pada waktu pagi itu mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Malahan, ia turut menjadi pilihan selebriti tanah air untuk bersantai di bandar raya ini.

Sekadar menyebut, antara mereka yang pernah kelihatan di tempat awam ini pelakon Ifa Raziah, Anjoulie Lavocah serta pemain kembar sensasi bola sepak negara, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd. Zaquan Adha.

Hakikat bahawa MBI Terrace semakin menjadi tarikan umum turut diakui seorang peniaga, Abu Hassan Yaacob, 57, yang telah mempelopori perniagaan di situ sejak 10 tahun lalu.

Pesara tentera darat itu berkata, tempat berniaga tersebut pada asalnya agak berbahaya kerana terletak di atas jalan raya.

Namun katanya, hasil naik taraf yang dilakukan oleh MBI sejak Ogos tahun lalu, pengunjung kini boleh menikmati ruang yang lebih selesa selain bahagian longkangnya dilengkapi dengan produk pengasingan sisa makanan (Simpak) bagi mengelakkan bau busuk.

"Saya merupakan antara peniaga terawal berniaga di sini. Dahulu ketika zaman Datuk Bandar, Datuk Sirajuddin Salleh, mereka mencari 15 orang peniaga Bumiputera untuk diberikan lesen dan berniaga di sini.

"Banyak keluarga yang datang makan di sini, malah golongan pekerja turut datang bersama rakan-rakan. Namun, hari minggu lebih meriah kerana biasanya tempat ini akan penuh sekiranya tidak hujan," katanya.

Abu Hassan yang dibantu oleh 11 pekerja memberitahu, dia menyajikan pelbagai hidangan seperti yong tau fu, nasi ayam dan mi udang sebagai tarikan gerainya yang dibuka sehingga pukul 2 pagi.

Malah katanya, MBI Terrace yang telah sinonim dengan bandar raya Ipoh wajar dijadikan antara kawasan pelancongan yang harus dilawati oleh pelancong apabila berkunjung ke Perak.

Mohd. Nasser Nasruddin, 24, berkata, MBI Terrace sesuai dikunjungi beramai-ramai.

"Lagipun, makan di tempat terbuka ini sangat menyenangkan kerana dapat merasai angin malam, lebih-lebih lagi kawasannya bersebelahan padang lapang," katanya.

Bagi Loo Chin Mei, 26, kedudukan MBI Terrace berdekatan dengan pusat beli-belah Ipoh Parade memudahkan ia dikunjungi.

"Kalau menonton wayang larut malam, kawasan ini paling sesuai untuk bersantai selepas itu.

"Gerai-gerai di sini pula banyak menyediakan makanan panas," katanya.

Nur Emma Suhad Murad, 27, pula memilih MBI Terrace kerana di situ senang mendapatkan makanan masakan Melayu.

"Bukannya tidak ada tempat lain, tapi di sini rasanya banyak sikit pilihan. Harga makanan dan minuman pun berpatutan," katanya.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger