BANDAR GAZA, Palestin - Presiden Palestin, Mahmud Abbas
menghubungi Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh semalam bagi mengucapkan
tahniah di atas 'kemenangan' menentang Israel.
"Dalam satu perbualan telefon, Abbas mengucap tahniah
kepada Haniyeh di atas kemenangan Hamas dan takziah buat mereka yang mati
syahid," kata satu kenyataan pejabat Haniyeh.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan, Abbas
menerima panggilan telefon daripada Haniyeh bagi memaklumkan mengenai situasi
di Gaza selepas persetujuan gencatan senjata dicapai pada Rabu lalu
"Presiden 'tabik' di atas kesabaran penduduk Palestin
ketika menghadapi serangan dan menekankan kepentingan gencatan senjata,"
lapor Wafa.
Pergerakan Hamas menguasai Gaza manakala Abbas daripada
pergerakan Fatah menguasai pentadbiran Tebing Barat di Palestin.
Sementara itu, jalan-jalan raya di Gaza yang lengang ekoran
serangan udara dan laut tentera Israel sebelum ini kembali dipenuhi dengan
kereta dan orang ramai selepas gencatan senjata tersebut dipersetujui kedua-dua
pihak.
Penduduk juga bersorak kegembiraan kerana sempadan Gaza yang
ditutup Israel dibuka semula ekoran persetujuan gencatan tersebut.
Para pemimpin Hamas turut mengisytiharkan kemenangan ke atas
Israel semalam.
Ribuan penyokong pergerakan itu mengibarkan bendera pada
satu perhimpunan pada hari pertama gencatan senjata.
Serangan Israel berlaku selama lapan hari bagi membalas
serangan roket para pejuang Palestin.
Haniyeh yang berucap menerusi televisyen meminta para
pejuang menghormati gencatan senjata itu.
Gencatan senjata itu diusahakan oleh Presiden Mesir, Mohamed
Morsi.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengucapkan
terima kasih kepada Morsi kerana peranannya melakukan rundingan gencatan
senjata itu.
"Presiden mengucapkan terima kasih kepada Morsi kerana
usaha-usahanya untuk mencapai satu gencatan senjata dan disebabkan
kepimpinannya dalam rundingan (gencatan senjata)," kata satu kenyataan
White House.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan beliau
menerima cadangan AS supaya memberi peluang terhadap gencatan senjata tersebut
dilaksanakan.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan, Israel
telah mencapai semua matlamat ketenteraan semasa serangan selama lapan hari
itu.
Beliau juga mengarahkan pihak tentera memantau gencatan
tersebut.
Gencatan senjata itu meminta Israel menghentikan semua
aktiviti ketenteraan di daratan, laut dan udara termasuk melakukan serangan
terhadap individu Palestin.
Serangan roket para pejuang Hamas juga akan dihentikan
ekoran gencatan itu.
Israel juga akan membenarkan pergerakan penduduk Palestin
dan barang melalui sempadan Gaza berdasarkan persetujuan yang dicapai kedua-dua
pihak.
Semasa serangan itu, tentera Israel menyatakan lebih 1,500
sasaran di Gaza telah diserang.
Para pejuang Palestin melancarkan 1,354 serangan roket ke
wilayah Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Hamas, seramai 163 penduduk
Palestin mati dan 1,235 lagi cedera.
Seramai lima penduduk Israel terbunuh dan 280 lagi cedera.
Sementara itu, Ketua Hamas, Khaled Meshaal menyatakan Israel
gagal dalam serangan tersebut.
"Selepas lapan hari, Tuhan menjauhkan tangan mereka
daripada penduduk Gaza.
"Semua matlamat Israel menemui kegagalan,"
katanya. - Agensi
Post a Comment