1News Online:
Home » » Percutian mewah

Percutian mewah

Friday, November 16, 2012 | 2:04 AM

DESTINASI percutian mewah yang serba-serbi eksklusif sudah tentu menjadi pilihan golongan yang berada ketika bercuti.

Bagi golongan ini wang bukan masalah, tetapi yang penting kepuasan ketika bercuti.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa dalam negara juga terdapat banyak destinasi percutian mewah yang kini semakin mendapat tempat di kalangan pelancongan antarabangsa.

Pulau-pulau di sekitar perairan negara yang eksotik misalnya, memiliki pakej percutian mewah yang wajar diterokai dan dinikmati.

Pulau Langkawi misalnya, turut menawarkan resort percutian yang terbaik di negara ini bagi memenuhi kehendak mereka yang bercita rasa tinggi.

Pulau legenda itu turut menempatkan jenama penginapan mewah seperti Hotel Four Season dan nama-nama besar dengan industri penginapan seperti The Westin Langkawi Resort and Spa, Datai Langkawi, Bon Ton, Temple Tree serta yang terbaru Seri Chenang Resort & Spa Langkawi.

Semuanya menawarkan tetamu mereka dengan pengalaman serba mewah yang tidak mampu untuk dilupakan.

Westin Langkawi Resort and Spa dan Datai Langkawi misalnya, masing-masing baru sahaja menerima anugerah Asia Luxury Island Resort dan Luxury Island Resort pada anugerah hotel berprestij dunia 2012.

Lain-lain hotel di Malaysia yang turut menerima anugerah ialah Palace of the Golden Horses ( Luxury Golf Resort), Shangri-La Kuala Lumpur (Luxury City Hotel), Shangri-La‘s Tanjung Aru Resort and Spa (Asia Luxury Family Hotel) dan Pan Pacific Kuala Lumpur International Airport (Asia Luxury Airport Hotel).

Apabila menyebut kemewahan dan keindahan alam semula jadi pula sudah tentu tidak dapat dipisahkan dengan Pangkor Laut Resort di Pulau Pangkor, Perak.

Dipilih oleh Condé Nast Traveller United Kingdom (UK) dalam senarai 100 resort terbaik dunia pada 2003, ia masih kekal sebagai antara destinasi pelancongan terbaik dunia.

Sebab itu Pangkor Laut sering menjadi tumpuan selebriti dunia termasuk ahli sukan terkenal dan pelakon Hollywood.

Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan menawarkan tempat percutian mewah yang unik dan tersendiri.

Hilton Batang Ai Longhouse Resort di Sarawak terutamanya yang terletak di tengah-tengah keheningan hutan hujan tropika menawarkan kemewahan yang tiada taranya.

Shangri-La Tanjung Aru Resort & Spa di Sabah pula menawarkan kemewahan bersantai dan berehat yang cukup mempersonakan sama ada sambil menikmati munculnya matahari atau menghayati keindahan suasana ketika suria beradu.

Bagi kaki golf, Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu sudah tentu menjadi idaman kerana boleh bermain sampai malam disebabkan ia merupakan satu-satunya lapangan yang menawarkan kemudahan golf pada waktu malam di Malaysia Timur.

Bagi yang selesa untuk menginap di tengah-tengah kota raya, ibu negara Kuala Lumpur memiliki pelbagai pilihan penginapan mewah.

Hotal Mandarin Oriental, Hilton KL, Le Meridien dan yang terbaru Grand Hyatt Kuala Lumpur merupakan kumpulan hotel dalam kelas kemewahan tersendiri.

Malaysia juga bakan menyaksikan kehadiran beberapa lagi jenama hotel mewah tahun depan termasuk The Regent Kuala Lumpur and The St. Regis.

Selain memiliki barisan hotel dan resort mewah, spa-spa di Malaysia juga kini semakin mengukuhkan kedudukan sebagai jenama yang eksklusif.

Spa Village oleh YTL misalnya telah menerima pelbagai pengiktirafan yang mana ia merupakan penanda aras bagi spa mewah dan eksklusif.

Bagitu juga dengan The Banjaran, tempat beristirehat air panas bertaraf lima bintang di Perak, selain The Chateau Spa & Organic Wellness Resort di Bukit Tinggi yang wajib dikunjungi kerana keistimewaannya.

Sudah pasti, sesuatu percutian mewah tidak akan lengkap tanpa menjenguk ke pusat membeli-belah serba mewah dan eksklusif.

Itu yang ditawarkan oleh Starhill Gallery dengan menampilkan pelbagai jenama eksklusif dunia seperti Audemars Piguet, Bvlgari, Tag Heuer, Vertu, M Missoni, Bottega Veneta, Chopard, Lanvin, Louis Vuitton, Omega, Chaumet dan Dior.

Pavilion Kuala Lumpur dan Suria KLCC juga turut menawarkan pengalaman membeli-belah serba mewah dengan pelbagai jenama eksklusif.

Johor Premium Outlets pula merupakan pusat jenama premium yang pertama di Asia Tenggara yang mula dibuka pada tahun lalu.

Tidak hairanlah, pusat-pusat membeli-belah di negara ini cukup terkenal dan sering menjadi tumpuan pelancong antarabangsa terutama ketika Jualan Murah 1Malaysia GP pada Mac, Karnival Jualan Mega 1Malaysia pada Jun dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia pada November.

Sebagai tambahan, Malaysia turut menawarkan destinasi membeli-belah bebas cukai.



Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger