1News Online:
Home » » Sikap pemandu kenderaan berat punca kemalangan

Sikap pemandu kenderaan berat punca kemalangan

Friday, November 30, 2012 | 7:59 AM




PETALING JAYA - Kajian PLUS Expressways Berhad (PLUS) mendapati 87 peratus kemalangan yang melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori berpunca daripada pemandu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid (gambar) berkata, memandu melebihi had laju, mengantuk, keletihan dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik demi mengejar perjalanan adalah antara faktor yang menyebabkan kemalangan berlaku.

"Lori menyumbang 18.1 peratus dan bas menyumbang 2.3 peratus daripada 54,380 kemalangan di lebuh raya PLUS sejak 2007 hingga Oktober lepas," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan Hormati Had Anda di sini semalam.

Seminar itu menekankan kepentingan menghormati had fizikal, kemampuan pemandu dan kemampuan kenderaan dipandu seseorang pemandu.

Ia disertai oleh pemandu kenderaan berat serta anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pekerja Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPJ Selangor, Ahmad Awang berkata, seminar itu dapat meningkatkan kesedaran selain platform terbaik kepada operator kenderaan untuk memberikan latihan kepada pekerjanya.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger