1News Online:
Home » » Taufan Sandy: Anggota Dewan Negara Lega Kembali Ke Malaysia Selepas Terperangkap

Taufan Sandy: Anggota Dewan Negara Lega Kembali Ke Malaysia Selepas Terperangkap

Wednesday, November 7, 2012 | 12:56 AM


Anggota Dewan Negara Datuk Boon Som Inong menceritakan pengalaman beliau ketika terkandas akibat taufan sandy di New york baru-baru ini, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Boon merupakan antara tiga senator yang sepatutnya pulang ke tanah air selepas menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), terkandas selepas penerbangan mereka dibatalkan akibat taufan Sandy. Dua senator lain yang terkandas bersama beliau adalah Senator Datuk Muhammed Najeeb Abdulah dan S. Bagiam Ayem Perumal. Turut kelihatan isteri beliau, Datin Cak Ba Ee Son (kanan). -fotoBERNAMA
SEPANG: Anggota Dewan Negara Datuk Boon Som Inong yang menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York bersama dua lagi senator baru-baru ini bersyukur kerana dapat kembali ke tanah air pada Selasa selepas penerbangan dibatalkan akibat taufan Sandy.
Boon serta Senator Datuk Muhammed Najeeb Abdulah dan S.Bagiam Ayem Perumal sepatutnya kembali ke tanah air pada 29 Okt, selepas selesai menghadiri mesyuarat itu yang berlangsung di New York pada 17 hingga 26 Oktober lepas.
Katanya selepas selesai menghadiri mesyuarat itu, mereka mengambil kesempatan berkunjung ke Washington DC untuk melihat sendiri bagaimana pilihan raya presiden diadakan.
Bagaimanapun, lawatan itu terpaksa dipercepatkan selepas pejabat Wakil Tetap Malaysia ke PBB menasihatkan mereka untuk segera pulang ke New York sebelum pukul 5 petang akibat taufan yang berlaku.
"Mujur kita cepat sedikit. Jika lambat mungkin kita pun terkandas di New Jersey sebab nak ke ke Washington DC dan New York memang kena melalui New Jersey yang dilanda taufan yang teruk," katanya kepada Bernama sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini melalui penerbangan EK 0408 Emirates Airlines dari Dubai.
Menurutnya mereka turut menerima e-mel ejen syarikat penerbangan yang memaklumkan penerbangan pada 29 Oktober terpaksa dibatalkan kerana semua lapangan terbang ditutup.
Beliau yang ditemani isteri Datin Cak Ba Ee Son berkata mereka diarah kembali ke bilik penginapan di tingkat 38, Hotel One United Nations Plaza di Manhattan dan tidak dibenarkan keluar.
Datuk Boon Som Inong menunjukkan keratan akhbar New York Post yang menyiarkan berita mengenai bantuan kepada mangsa taufan Sandy sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Difahamkan taufan itu akan sampai ke New York pada pukul 8 malam. Dalam hotel terasa bergoyang, kepala pening, bunyi angin kuat. Air dalam gelas berkocak.
"Deruan angin seperti suara manusia menjerit. Ia memang sangat mengerikan. Apabila tengok televisyen, rupanya suasana taufan itu begitu dahsyat.
"Tetapi di Amerika Syarikat ini komunikasi bagus kerana ramalan mereka agak tepat ia akan beritahu kedudukan berapa dan bila taufan akan sampai (ke sesuatu kawasan). Jadi kawasan kami di Manhattan cuma kena "tempias". Tidak berapa kuat," katanya.
Ketika kejadian itu juga, Boon berkata beliau tidak putus-putus menerima panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas, serta pertanyaan dari laman sosial Facebook mengenai keadaan beliau di sana.
Katanya akibat taufan itu, beliau serta dua senator lagi terpaksa menaiki kapal terbang yang berlainan dan tidak mengikut jadual kerana Muhammed Najeeb sudah tiba di KLIA pagi tadi dan S.Bagiam Ayem Perumal pula dijangka tiba malam esok.
Boon turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi kepercayaan kepada mereka untuk melibatkan diri dengan mesyuarat PBB serta Wakil Tetap Malaysia ke PBB dan pihak Parlimen yang banyak membantu mereka tiba ke Malaysia dengan selamat.
Sementara itu, Cak Ba berkata beliau tidak menyangka akan melalui pengalaman seumpama itu sehinggakan beliau sekaligus teringat tiga anak berusia antara 11 hingga setahun yang ditinggalkan di tanah air bersama ibu dan kakaknya.
Katanya ibu beliau juga menangis apabila melihat sendiri kawasan yang dilanda taufan itu di kaca televisyen yang seolah-olah hancur seperti di medan peperangan kerana ibunya membayangkan beliau dan Boon turut terkena keadaan yang sama. - BERNAMA

Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger