1News Online:
Home » » Taufan Sandy: Stesen Minyak Diserbu Cetus Kekecohan

Taufan Sandy: Stesen Minyak Diserbu Cetus Kekecohan

Friday, November 2, 2012 | 9:03 PM


NEW YORK: Selepas dibadai taufan Sandy, banjir dan terputus bekalan elektrik, penduduk bandar raya New York kini berhadapan dengan kekurangan bekalan petrol sehingga stesen-stesen minyak di sekitar bandar raya ini diserbu orang ramai.
Tinjauan di sekitar Jackson Heights dan Astoria yang terletak di Queens mendapati stesen minyak yang masih beroperasi dan mempunyai bekalan mengalami kesesakan dengan deretan kereta untuk mendapatkan bekalan.
Di Northern Boulevard, Jackson Heights, sebuah stesen minyak yang terletak di 72th Street, diserbu pemandu teksi sehingga polis terpaksa mengawal keadaan, kerana barisan menunggu yang sangat panjang.
Selain pemandu teksi dan kereta berbaris panjang menunggu giliran, orang perseorangan juga sanggup beratur panjang di dalam kawasan stesen minyak itu, membawa bersama mereka bekas untuk membeli petrol.Empat pam dikhaskan kepada kereta dan teksi untuk mengisi minyak terus ke tangki minyak manakala dua pam lagi untuk orang perseorangan dan dihadkan kepada lima gelen setiap orang.
Polis juga dipanggil kerana keadaan menjadi kecoh selepas jalan dari arah Woodside ke Flushing sesak teruk apabila mereka berhenti menunggu giliran di bahu-bahu jalan.
Bagi Yadwinder Singh dan rakannya Rahul Singh, pekerja di Sikh Cultural Society Center (SCSC) terletak di Richmond Hill, terpaksa datang ke Jackson Heights untuk mengisi minyak van milik majikan selepas dimaklumkan rakan bahawa stesen minyak itu beroperasi.
Yadwinder semasa ditemui berkata: "Kami perlu mengisi tangki van milik pusat berkenaan kerana kami perlu meneruskan kerja amal dengan memberi makan kepada mangsa-mangsa taufan Sandy di sekitar kawasan Rockaway.
Rockaway, kawasan tepi pantai yang merupakan kawasan yang paling teruk terjejas dibadai taufan Sandy, apabila rumah, sekolah dan bangunan di kawasan berkenaan tenggelam selepas dibadai ombak laut dan dinaiki air pasang dari lautan Atlantik.
"Hari ini (Khamis) kami mengambil risiko apabila meneruskan juga usaha menghantar makan tengah hari yang dimasak oleh sukarelawan pusat berkenaan untuk diagihkan secara percuma kepada mangsa taufan Sandy walaupun minyak di dalam tangki sangat kurang," katanya. "Kami keluar dari SCSC pada kira-kira pukul 9 pagi untuk mengisi tangki van di sekitar Atlantic Avenue dan Richmond Hills, kawasan berdekatan dengan pusat kami. Sebaliknya tidak berjaya kerana kebanyakan stesen minyak di kawasan itu tidak mempunyai bekalan," katanya semasa ditemui Bernama berhampiran stesen minyak di Northern Boulevard di sini, lewat petang Khamis.
Rahul berkata mereka tekad berusaha untuk mencari bekalan petrol mengisi tangki van pusat berkenaan kerana esoknya (Jumaat) terpaksa mengagihkan bekalan makanan untuk sarapan pagi dan makan tengah hari.
Bagi Christine Chong, rakyat Malaysia yang berasal dari Segamat, Johor dan pengusaha dua buah kedai dobi di bahagian timur utara Manhattan semasa dihubungi berkata, beliau hanya berjaya mengisi petrol di stesen minyak ketujuh berikutan enam lagi stesen minyak di kawasan rumahnya kehabisan bekalan.
"Saya terpaksa mengisi tangki kereta dengan minyak jenis 'Super' walaupun kereta saya menggunakan minyak 'Regular' selepas semua bekalan minyak jenis itu telah habis. Saya terpaksa berbelanja lebih mahal untuk mengisi dengan minyak "Super'," katanya yang tinggal di 96th Street Northern Boulevard di sini. Christine berkata sejak dua hari lepas, perjalanan dari rumah ke kedainya yang selalunya mengambil masa 30 minit bertukar menjadi tiga hingga empat jam kerana kesesakan yang teruk, selepas kebanyakan penduduk membawa kereta ke pusat bandar untuk mula bekerja dan menjalankan perniagaan, setelah sistem pengangkutan transit dalam bandar lumpuh akibat beberapa bahagian terowong bawah tanah banjir teruk.
Bagi Nor Rosyida Sudin dari Kulim, Kedah yang kini menetap di New Jersey, negeri yang paling teruk dibadai taufan Sandy, berkata beliau terpaksa memandu lebih kurang sejam dari rumahnya ke Pennsylvania untuk mengisi tangki kenderaan pacuan empat roda beliau.
"Saya terpaksa membawa ketiga-tiga anak perempuan saya yang berusia tujuh dan tiga setengah tahun serta tujuh bulan bersama untuk mencari stesen minyak yang beroperasi untuk mengisi tangki serta bekalan untuk generator kami, selain keluar untuk bertemu mentua yang tinggal di Pennsylvania," katanya.
Beliau berkata sepanjang perjalanan itu, kebanyakan stesen minyak di New Jersey sudah ditutup kerana habis bekalan atau mempunyai barisan menunggu yang sangat panjang.
"Selepas percubaan untuk mengisi minyak di New Jersey gagal dan tidak tahan untuk menunggu dan anak kecil yang asyik menangis, saya mengambil keputusan ke Route 611 Bucks County di Pennsylvania untuk mengisi minyak kenderaan saya dan juga generator," katanya. -BERNAMA
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger