1News Online:
Home » , » Tempat Menarik Dari Skudai ke Saigon

Tempat Menarik Dari Skudai ke Saigon

Friday, November 2, 2012 | 3:54 PM


Rencana dan Foto oleh MOHD. SABRI MD. SALLEH

PERANCANGAN untuk melakukan lawatan ke luar negara dilakukan dua bulan sebelum kami melancong melibatkan ahli Kelab Guru dan Staf (KEBIRUS) SMK Taman Universiti, Skudai, Johor.

Kami bertolak dari sekolah awal pagi 30 Mei lalu dengan bas pesiaran yang disediakan oleh agensi pelancongan.
Seramai 34 orang termasuk tiga dari Pasir Gudang dan seorang wakil agensi iaitu Arin, menyertai rombongan itu.

Perjalanan ke Tanjung Puteri, Johor Bahru selama 20 minit. Seterusnya kami menuju ke Woodlands, Singapura sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Kami sempat solat subuh sebelum menaiki pesawat Tiger Airways pada pukul 7.20 pagi.
Setibanya di Tan Soon Nhat International Airport, kami disambut mesra oleh pemandu pelancong - Christine yang banyak bercerita mengenai sejarah Vietnam.

Sebelum makan tengah hari, kami ke Saigon Central Post Office yang menjadi salah satu mercu tanda kebanggaan Vietnam.

Bangunan bersejarah ini terletak kira-kira lapan kilometer dari lapangan terbang.

Bangunannya sangat unik dengan senibina berunsurkan Gothik oleh Gustave Eiffel, seorang arkitek terkenal berbangsa Perancis.

Setelah makan tengah hari di Restoran Saigon Seri Penang kami mendaftar masuk di Hotel Queen Ann.

Pada petangnya, kami berjalan kaki di sekitar Saigon Square iaitu kompleks beli-belah yang menjual pelbagai jenis pakaian.
Pengalaman berjalan kaki di Bandar Saigon memberikan kelainan kepada kami kerana dapat melihat banyak motosikal ditunggang oleh rakyat Vietnam.

Menurut Christine, di Ho Chi Minh sahaja terdapat empat juta motosikal yang menjadi pengangkutan penting rakyat Vietnam.
Malam pertama kami di Vietnam diisi dengan aktiviti santai di atas kapal persiaran yang berlayar di sepanjang Sungai Saigon selama satu jam dengan bayaran AS$10.

Esoknya kami memulakan aktiviti ke Cu Chi Tunnels yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Bandar Ho Chi Minh.
Di sana, kami dapat melihat terowong yang menjadi tinggalan sejarah Perang Vietnam. Terowong unik ini dibina oleh rakyatnya untuk mempertahankan diri daripada serangan tentera Amerika Syarikat (AS).

Kami dapat merasai pengalaman bersembunyi di dalam terowong gelap dan sempit yang menjadi kubu pertahanan rakyat Vietnam.

Terowong yang dibina sepanjang 200 kilometer ini menjadi tumpuan pelancong dan dipelihara baik oleh masyarakat tempatan untuk dijadikan kenangan kepada generasi akan datang.

Christine turut menerangkan usaha rakyat Vietnam mempertahankan tanah air dengan membina kubu di tempat yang strategik dan perangkap yang dibuat sendiri.

Begitu juga dengan lorong-lorong yang menghubungkan sesetengah ruang di dalam terowong berkenaan.
Kubu bawah tanah ini ibarat sebuah penempatan, lengkap dengan klinik, dapur, tempat mendapatkan bekalan air, tempat serang hendap musuh dan menyimpan senjata.

Hasil semangat juang yang kuat dalam menentang tentera AS dan mempertahankan tanah air, mereka berjaya menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.

Bagaimanapun disebabkan masalah seperti kemudahan tandas dan pengudaraan yang tidak baik, ramai askar Vietnam yang menggunakan terowong mati akibat malaria.

Seterusnya kami berpeluang merasai pengalaman menembak di National Defence Sports Shooting Centre dengan bayaran AS$17.50 untuk 10 biji peluru.
Kami juga berpeluang menjamu juadah ubi kayu bercecahkan kacang tumbuk dan air teh.
Petangnya pula, masa kami diisi dengan lawatan ke War Remnants Museum, khas untuk memperingati Perang Vietnam.
Muzium ini dibuka pada September 1975 untuk memaparkan jenayah perang AS dan kerajaan boneka (Vietnam Selatan) yang kemudiannya dikenali sebagai Muzium Jenayah Perang AS.

Muzium ini terdiri daripada lapan bilik yang dilengkapi dengan peralatan tentera.
Di sana tergantung gambar grafik kesan semburan kimia, penggunaan bom napalm dan fosforus serta kekejaman pembunuhan beramai-ramai di My Lai.

Terdapat juga tiga balang janin manusia cacat yang diawet akibat pendedahan kepada dioksin. Lawatan ini sungguh menginsafkan kami.

Pada hari ketiga rombongan meneruskan aktiviti lawatan ke perkampungan sekitar Sungai Mekong.

Perjalanan mengambil masa selama dua jam dari Ho Chin Minh dengan menaiki bot ke Unicorn Island.

Kami menaiki sampan menyusuri denai sepanjang sungai. Di kiri kanan sungai terdapat banyak pokok nipah.

Kami sempat singgah di perkampungan nelayan yang terdapat kolam ternakan ikan dan dusun buah-buahan.

Di sana terdapat industri gula-gula berasaskan kelapa. Kemudian kami dijamu dengan buah-buahan seperti nanas, buah naga dan mangga sambil mendengar Do Ca Ta Tu Nam Bo iaitu salah satu muzik tradisi Vietnam.

Sebelum balik ke hotel, pengusaha bot menjamu kami air kelapa.

Penduduk di pulau tersebut memang memanfaatkan sumber yang ada. Banyak kraftangan dihasilkan daripada pokok kelapa dan dijual sebagai cenderamata.

Lawatan diteruskan untuk menyaksikan pertunjukan puppet air di Thao Dien Village dengan bayaran AS$10. Cerita yang dipersembahkan agak menarik tetapi disebabkan masalah bahasa kami tidak dapat menghayatinya.
Sebelum makan tengahari, kami sempat membeli-belah di Pasar Ben Thanh.

Pasar ini beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 6 petang kecuali Sabtu dan Ahad, dibuka seawal pukul 7 pagi.
Sebahagian peniaga akan menyambung aktiviti pasar malam yang beroperasi sehingga 11.30 malam. Di sini terdapat pelbagai jenis barang seperti pakaian, kraftangan dan makanan.

Tips semasa membeli-belah di sini:

Tetapkan mata wang apa yang hendak digunakan. Peniaga menerima dolar Amerika dan Ringgit Malaysia selain VDong.
Terus tawar separuh harga jika memang hendak membeli barang tersebut.

Jangan melancong ketika cuti sekolah atau musim perayaan. Peniaga akan menaikkan harga sesuka hati. Tambahan pula tiada tanda harga.

Jangan hanya tertumpu kepada satu kedai atau gerai. Peniaga akan menawarkan harga yang berbeza.
Bandingkan dengan harga barang yang sama di Malaysia

Pada hari terakhir di Vietnam, sebahagian daripada kami menyambung membeli-belah di Pasar Ben Thanh.
Saya sempat berjalan kaki ke Reunification Palace yang memakan masa kira-kira 15 minit dari hotel. Tiket untuk masuk AS$1.50 sahaja.

Bangunan ini yang sebelumnya dipanggil Independence Palace direka bentuk oleh arkitek bernama Ngo Vit Th. Istana ini adalah rumah dan pejabat Presiden Vietnam Selatan semasa Perang Vietnam.
Kami tiba di lapangan terbang pukul 3 petang lalu mendaftar masuk. Urusan di sini lancar dan tidak menghadapi masalah.
Kami berlepas dengan penerbangan Tiger Airways tepat pukul 5.30 petang dan tiba di Changi pada pukul 8.10 malam. Di sini juga urusan imigresen dan kastam lancar.
Seterusnya kami bertolak ke Johor Bahru dan rombongan selamat tiba di pekarangan sekolah pukul 10.30 malam.
Kami bersyukur perjalanan dari Skudai, Johor ke Ho Chi Minh, Vietnam dan kembali ke tanah air berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Yang pasti, banyak yang kami pelajari daripada kunjungan ke rantau orang!


Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger