1News Online:
Home » » Tiga Perompak Bank Bersenjata Pistol Melarikan RM200,000 Dalam Masa Lima Minit

Tiga Perompak Bank Bersenjata Pistol Melarikan RM200,000 Dalam Masa Lima Minit

Monday, November 5, 2012 | 10:58 PM


Anggota polis sedang memeriksa sekitar bank RHB setelah berlaku rompakan di bank tersebut di Sri Damansara di sini hari ini. Tiga perompak yang bersenjatakan dua pistol, menjadikan seorang pelanggan dan seorang pengawal keselamatan bank sebagai tebusan sebelum melarikan hampir RM200,000 dalam kejadian yang memakan masa lima minit. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Tiga perompak memakai topi besbol bersenjatakan dua pistol, menjadikan pelanggan dan pengawal keselamatan sebuah bank di sini sebagai tebusan sebelum melarikan wang tunai hampir RM 200,000 dalam kejadian yang memakan masa lima minit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, dua daripada suspek, seorang memegang pistol meluru ke dalam bank RHB cawangan Sri Damansara dan menjadikan pelanggan dan pengawal keselamatan yang berada dekat dengan pintu masuk bank sebagai tebusan.
Manakala seorang lagi yang bersenjatakan pistol menyerang seorang pengawal keselamatan di bahagian belakang kaunter, dan merampas pump gunnya sebelum menghentak belakang kepala pengawal dengan pistol, katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini Isnin.
Arjunaidi berkata perompak itu kemudian mengarahkan pengawal yang dicederakannya ke sebuah bilik di belakang kaunter untuk mengambil dua beg berisi wang yang terdapat dalam bilik itu, sebelum mereka melarikan diri.
Beliau berkata dalam kejadian itu, sebanyak tiga das tembakan rambang dilepaskan oleh salah seorang daripada suspek yang berada di ruang hadapan kaunter, manakala dua das lagi tembakan dilepaskan di dalam bilik bahagian belakang kaunter bank.
Arjunaidi berkata perompak membawa bersama kedua-dua tebusan sebelum meninggalkan mereka di luar bank untuk menaiki sebuah kereta jenis BMW putih, yang di dalamnya terdapat dua lagi rakan penjenayah.
Menurut beliau, ketika kejadian terdapat 15 orang kakitangan bank, termasuk dua pengawal keselamatan yang diserang, dan 10 orang pelanggan.
Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank itu bagi mengenal pasti identiti suspek.
Sementara itu pelanggan bank yang dijadikan mangsa tebusan, Abdul Aziz Abdul Jalil, 36, seorang pensyarah perakaunan di sebuah kolej swasta di ibu negara, berkata beliau masih terkejut dengan kejadian yang menimpa dirinya itu.
"Ketika kejadian saya sedang beratur di hadapan kaunter sementara menunggu giliran. Tiba-tiba saya dicekik daripada belakang dan dalam masa sama saya nampak dua suspek menahan seorang tebusan, manakala seorang lagi mencederakan pengawal keselamatan," katanya.
Abdul Aziz berkata beliau dijadikan tebusan suspek mungkin menyangkanya sebagai salah seorang pengawal keselamatan bank itu kerana pada masa itu memakai jaket hujan.
Semasa tembakan dilepaskan dalam bilik bahagian belakang kaunter terdengar jeritan suara wanita dari bilik itu dan ketika itu saya merasakan seperti akan mati, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata perompak kelihatan keluar pantas dengan membawa beg yang berisi wang sebelum kesemua mereka melarikan diri menaiki kenderaan, katanya yang rasa bersyukur kerana terselamat. - BERNAMA
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger