1News Online:
Home » , , » Wenger pening kepala

Wenger pening kepala

Friday, November 30, 2012 | 8:01 AM


LONDON - Pengurus Arsenal , Arsene Wenger semakin tertekan dengan kerapuhan benteng pertahanan skuad The Gunners selepas seri 1-1 dengan Everton pada aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.

Pada aksi di Goodison Park itu, Arsenal kehilangan seorang lagi pemain pertahanan selepas Laurent Koscielny, 27, mengalami kecederaan pangkal paha yang serius.

Koscielny yang baru beraksi selama empat minit terpaksa dikeluarkan dan pemain pertahanan Perancis itu dijangka akan berehat selama tiga minggu.

"Dia (Koscielny) mengalami kecederaan pangkal paha dan kebiasaannya ia akan mengambil masa sehingga tiga minggu," kata Wenger.

Pada perlawanan tersebut, Arsenal berada di hadapan seawal minit pertama menerusi jaringan pemain sayap, Theo Walcott tetapi kerapuhan benteng pertahanan sekali lagi mengecewakan Wenger.

Bacary Sagna melakukan kesilapan mudah apabila membiarkan Marouane Fellaini meloloskan diri, seterusnya menyamakan kedudukan pada minit ke- 28.

"Kami bermula dengan baik. Selepas itu, Everton mula melakukan tekanan dan berjaya menyamakan kedudukan. Ia merupakan satu perlawanan yang sukar dan mereka sering melancarkan serangan terutama menerusi Fellaini.

"Kami kecewa dengan gol penyamaan itu, namun secara keseluruhannya saya rasa seri 1-1 adalah suatu keputusan yang adil," kata Wenger.

Menurut beliau, aksi tersebut antara perlawanan terbaik mereka musim ini kerana semua pemainnya menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun sekadar mengutip satu mata.

Dalam pada itu, Sagna dijangka akan memulakan perbincangan mengenai kontrak baharu dengan pihak pengurusan Arsenal minggu ini kerana kontrak asalnya hanya berbaki 18 bulan.

Untuk rekod, Robin van Persie, Samir Nasri dan Mathieu Flamini meninggalkan kelab itu setelah gagal mencapai persetujuan berhubung pembaharuan kontrak.

Kini peminat Arsenal tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada Sagna dan Walcott kerana kontrak kedua-dua pemain itu akan tamat akhir musim ini. - Reuters
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger