1News Online:
Home » , , » Wenger tegas pertahan strategi

Wenger tegas pertahan strategi

Monday, November 26, 2012 | 10:24 AM


BIRMINGHAM – Pengendali Arsenal, Arsene Wenger kembali dikritik peminat selepas skuad kendaliannya mempamerkan aksi hambar apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Aston Villa dalam aksi Liga Perdana England di Stadium Emirates awal pagi semalam.

Keputusan itu menyaksikan The Gunners kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Manchester United yang melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Queens Park Rangers dalam satu lagi aksi liga semalam.

Disebabkan itu, ada segelintir penyokong The Gunners tanpa berselindung menjerit `Anda tidak tahu apa yang anda lakukan’ terhadap Wenger dari tempat duduk penonton.

Keputusan Wenger menggantikan penyerang, Olivier Giroud dengan pemain tengah, Francis Coquelin pada penghujung babak kedua juga kurang disenangi penyokong The Gunners.

Begitupun, Wenger menegaskan beliau tidak perlu memberikan penjelasan kepada peminat berhubung strateginya dalam perlawanan itu.

“Saya tidak perlu menjelaskan sesuatu mengenai setiap keputusan saya dalam perlawanan.

“Saya akui, beraksi di gelanggang sendiri selepas aksi dalam kempen Liga Juara-Juara sememangnya bukan mudah kerana penyokong mahu kami menang.

“Cuma, mereka (peminat) boleh fikirkan apa yang mereka mahu, tetapi saya berhak menggantikan mana-mana pemain yang saya suka,” tegas Wenger.

Pada masa sama, Wenger kekal optimis dengan kemampuan pasukannya mencabar saingan musim ini biarpun ketinggalan jauh di belakang United.

“Sebab apa saya perlu panik? Perjalanan liga masih panjang.

“Kami akan kembali fokus dalam perlawanan demi perlawanan selepas ini. Usah bimbang, saya tahu kerja saya,” kata Wenger. – AFP

Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger