1News Online:
Home » » Abhisit, Suthep dituduh bunuh orang awam

Abhisit, Suthep dituduh bunuh orang awam

Friday, December 7, 2012 | 11:27 AM



Bangkok: Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand, mendakwa bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva memberi arahan penggunaan peluru hidup sehingga menyebabkan kematian orang awam ketika tunjuk perasaan anti-kerajaan pada Mei 2010.

Jabatan terbabit yang diletakkan di bawah Kementerian Kehakiman, mendakwa Abhisit dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban bertanggungjawab berikutan peranan mereka ketika itu.

Mereka membenarkan pasukan keselamatan menggunakan senjata dan peluru hidup menyebabkan kematian orang awam, kata ketua DSI, Tarit Pengdith.

Tindakan DSI untuk mengemukakan dakwaan itu dikatakan dipengaruhi keputusan mahkamah pada 17 September lalu ketika inkues dilakukan ke atas kematian seorang pemandu teksi, Phan Kanthong ketika tunjuk perasaan.

Hasil inkues mendapati, askar terbabit bertindak atas arahan pegawai kerajaan supaya membunuh Phan.

Abhisit dan Suthep didakwa di bawah fasal 288 kod jenayah Thailand. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Abhisit dan Suthep tidak hadir ketika dakwaan dibacakan.

Beribu-ribu penunjuk perasaan, penyokong bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra yang disingkirkan pada rampasan kuasa 2006 mengadakan bantahan jalanan pada Mac 2010, mendesak pilihan raya diadakan semula. Lebih 90 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan itu.
Suthep mengetuai Pusat Menangani Keadaan Kecemasan (CRES), sebuah agensi kawalan krisis yang mengarahkan tembakan peluru hidup di zon tunjuk perasaan, selain menggunakan kuasa darurat menutup laman web, stesen radio dan televisyen.

Tentera yang disokong kerajaan menyuraikan penunjuk perasaan secara paksa pada 19 Mei menyebabkan rusuhan dan kebakaran menyaksikan 30 bangunan musnah, insiden keganasan terburuk dalam sejarah Thailand.

Adik Thaksin, Yingluck Shinawatra, kini perdana menteri dan pemimpin Parti Puea Thai, menewaskan Parti Demokrat pada pilihan raya Julai 2011.

Bagaimanapun jurucakap Parti Demokrat, Chavanon Intarakomalyasut, berkata DSI menjalankan tugas atas perintah kerajaan dan siasatan dijalankan secara sebelah pihak.
REUTERS
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger