1News Online:
Home » , , » Abramovich Sanggup Bayar Mahal Pada Guardiola

Abramovich Sanggup Bayar Mahal Pada Guardiola

Sunday, December 9, 2012 | 9:57 AM

LONDON - Pemilik Chelsea, Roman Abramovich dilaporkan mahu mengemukakan tawaran lumayan berjumlah £20 juta (RM97.9 juta) setahun kepada bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola (gambar) bagi mengambil alih jawatan pengurus Chelsea pada musim panas depan.

Terdapat laporan yang mendakwa Abramovich memilih Guardiola yang menetap di New York dan sudah setahun tidak terbabit dalam aktiviti bola sepak selepas meninggalkan Stadium Nou Camp.

Dalam masa yang sama, pengarah teknikal skuad The Blues, Michael Emenalo menyenaraikan beberapa calon terbaik termasuk Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, Abramovich yang tidak disukai dalam kalangan pengurus selepas beliau memecat lapan individu sepanjang tempoh sembilan tahun berazam untuk mendapatkan Guardiola meskipun mendapat saingan daripada Paris St. Germain, AC Milan dan Bayern Munich.

Selepas beberapa kelab elit di Eropah cuba mendapatkan Guardiola, Abramovich merancang untuk mematahkan percubaan mereka dengan membuat tawaran lumayan berjumlah £20 juta (RM98 juta) setahun, selama empat tahun termasuk bonus.

Situasi itu bakal menyaksikan pengendali kelahiran Sepanyol itu memperoleh pendapatan hampir £100 juta (RM 490 juta) sekali gus menjadi pengurus yang memiliki pendapatan tertinggi di dunia.

Bagaimanapun, ejen Guardiola iaitu Josep Maria Orobitg mendedahkan bahawa pengendali tersebut hanya akan membuat keputusan awal tahun depan.

"Guardiola tidak akan membuat sebarang keputusan sebelum Januari. Saya bersamanya di New York 15 hari lalu dan dia memberitahu saya bahawa dia tidak akan membuat keputusan sebelum Januari atau Februari depan mengenai pasukan yang akan dibimbingnya," kata Maria Orobitg.

"Tidak kira apa yang akan berlaku sebelum tempoh tersebut, dia tidak akan membuat keputusan untuk bersama mana-mana kelab atau pasukan kebangsaan. Dia berhak memikirkan masa depannya.

"Kini, dia bersama keluarga, berehat, membaca dan menikmati hobinya iaitu menonton bola sepak," katanya.

Abramovich sudah dua kali cuba membawa Guardiola ke Stamford Bridge tetapi percubaan kali ini tidak menggembirakan peminat Chelsea yang membantah keputusan memecat Roberto Di Matteo.

Penyokong The Blues turut mempertikaikan pelantikan pengurus sementara, Rafael Benitez sebelum mereka tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara musim ini. - Agensi
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger