1News Online:
Home » , » Bale antara pemain terbaik dunia

Bale antara pemain terbaik dunia

Friday, December 28, 2012 | 3:00 AM

BIRMINGHAM - Pemain sayap Tottenham Hotspur, Gareth Bale ialah antara pemain berbakat paling istimewa dalam dunia bola sepak, kata pengurusnya, Andre Villas-Boas selepas bintang Wales itu meledak hatrik untuk membantu Spurs membelasah Aston Villa 4-0 di Villa Park.

Jermain Defoe meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-58 sebelum Bale mengganas dengan tiga gol berikut pada minit ke-61, ke-73 dan ke-84 untuk menjadikan jumlah koleksi jaringan liga musim ini kepada sembilan setakat ini.

"Dia tergolong dan setaraf dengan mereka yang terbaik. Penyudahnya sangat tajam. Dia agak prolifik di depan gawang musim ini dan saya fikir dia gemar menempatkan diri di posisi tersebut.

"Kehebatan kaki kirinya cukup menyerlah dan arah bola yang mahu dia tujukan juga menakjubkan," kata pengurus warga Portugal itu selepas menyaksikan pasukannya melonjak ke tangga keempat, 13 mata di belakang pendahulu Manchester United melalui kemenangan itu.

Mengulas lanjut mengenai pemain lincah berusia 23 tahun itu, Villas-Boas menambah: "Saya fikir dia menjadi semakin hebat dari sehari ke sehari, usianya masih begitu muda. Dia adalah aset terpenting kami."

Jaringan pembukaan Defoe, yang merupakan gol ke-10 penyerang England itu musim ini, disifatkan Villas-Boas sebagai titik tolak kepada perlawanan kelmarin kerana mendatang kesan terhadap Villa yang pastinya masih dihantui kekalahan memalukan 0-8 di Chelsea, Ahad lalu.

"Adalah penting untuk kami peroleh gol pertama kerana kami tahu ia secara tidak langsung mampu menjadikan Villa tidak stabil," jelasnya.

Pengurus Villa, Paul Lambert berkata, pasukannya yang kini menghuni tangga ke-16 bernasib baik untuk menamatkan babak pertama dengan kedudukan 0-0.

"Kami bergantung kepada tuah pada separuh masa pertama kerana Spurs terlalu bagus," ujarnya.

Diratah 12 gol dalam dua perlawanan berturut-turut bagaimanapun tidak menjatuhkan semangat Lambert yang berkeyakinan bahawa anak buahnya akan dapat bangkit daripada dua kekalahan besar itu.

"Pemain-pemain tidak akan terjejas. Sama ada kami menang, kalah atau seri, kami sentiasa mengekalkan semangat yang sama. Satu perkara dalam bola sepak ialah kamu tidak boleh terlalu memikirkan kekecewaan sebelum ini dan segera bangkit, tiada cara lain," tegas Lambert. - REUTERS
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger