1News Online:
Home » , , » Benitez mula runsing

Benitez mula runsing

Monday, December 3, 2012 | 10:42 AM



LONDON - Rafael Benitez akur bahawa tugas menjulang kebangkitan Chelsea jauh lebih rumit daripada yang disangka selepas melihat pasukannya aib 1-3 kepada West Ham, kelmarin.

Setelah lebih seminggu mengambil alih pasukan yang dilanda krisis itu, Chelsea hanya terdaya meraih dua mata dan satu gol dalam tiga perlawanan pertama di bawah kendalian Benitez.

Keputusan hambar itu sekali gus mengeruhkan lagi hubungan penyokong setia dengan pemilik kelab, Roman Abramovich yang sebelum ini sudahpun terjejas ekoran pemecatan Roberto Di Matteo dan Benitez, calon yang dibenci, sebaliknya dilantik sebagai pengurus sementara.

Fokus Benitez kini beralih kepada saingan Liga Juara-Juara bertemu Nordsjaelland Rabu ini, yang mana penyandang juara Eropah itu wajib menang untuk menghidupkan peluang melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Namun untuk melaksanakan misi itu, Benitez harus terlebih dahulu membangkitkan semula semangat skuadnya yang keyakinan kian luntur setelah tumpas mengejut kepada West Ham, biarpun satu ketika mendahului perlawanan pada babak pertama.

Ditanya apakah dia merasakan tugasnya lebih berat daripada jangkaan awal apabila dia memutuskan untuk menerima tawaran menggantikan Di Matteo sehingga penghujung musim ini, jelas Benitez: "Mungkin. Keadaannya tidak bagus, untuk sebuah pasukan utama seperti Chelsea pada pertengahan musim. Kami akan cuba mengubahnya namun ia akan mengambil masa."

Permulaan hambar Chelsea di bawah era Benitez juga bermakna masa depan pengendali Sepanyol itu menjadi tanda tanya, sekalipun baru sahaja menyandang tugas 12 hari lalu.

Namun katanya: "Perkara yang saya ambil kisah sekarang adalah bagaimana untuk memperbaiki pasukan ini. Jika dapat lakukannya, dan mula memperoleh kemenangan, maka kami mampu mengubah keadaan. Itu paling mustahak, saya tidak fikir soal lain."

Juan Mata meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-13 namun skuad Benitez gagal memanfaatkan kelebihan itu meskipun mendominasi babak pertama.

West Ham bangkit selepas perlawanan bersambung dengan gol daripada Carlton Cole, Mohamed Diame dan Modibo Maiga memberikan kemenangan bergaya untuk tuan rumah, sebaliknya menaikkan kemarahan penyokong Blues.

Kata Benitez: "Kami perlu memperbaiki prestasi di padang dan hanya dengan itu baru penyokong boleh rasa gembira. Kami perlu menang, semudah itu.

"Pada babak pertama kami patut menjaringkan lebih banyak gol, separuh masa berikutnya kami memiliki satu atau dua peluang tapi usaha itu tidak memadai." - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger