1News Online:
Home » , , » Chelsea di ambang hidup mati

Chelsea di ambang hidup mati

Wednesday, December 5, 2012 | 9:40 AM

PARIS - Ibarat telur di hujung tanduk. Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan situasi yang dialami juara bertahan, Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Ini kerana, skuad The Blues berdepan kemungkinan menjadi juara bertahan pertama yang gagal mara ke pusingan kalah mati.

Meskipun berjaya menewaskan kelab Denmark, Nordsjaelland pada aksi terakhir Kumpulan E di Stamford Bridge awal pagi esok, namun itu masih belum cukup untuk menjamin slot ke kelompok 16 pasukan terbaik musim ini.

Skuad bimbingan Rafael Benitez (gambar) itu perlu menagih simpati Shakhtar Donetsk agar mencatatkan kemenangan ke atas Juventus dalam satu lagi pertemuan Kumpulan E di Donbass Arena awal pagi esok.

Ketika ini, skuad The Blues menghuni tangga ketiga Kumpulan E dengan tujuh mata, tiga mata ketinggalan di belakang Shakhtar selaku pendahulu dan dua mata dibezakan dengan Juventus di tangga kedua.

Pintu ke pusingan kalah mati seolah-olah telah tertutup buat Chelsea selepas tewas mengejut 0-3 kepada Juventus dua minggu lalu.

Justeru, tekanan kini menghantui Benitez yang masih gagal melakar kemenangan sebaik dilantik menjadi pengurus sementara bagi menggantikan Roberto Di Matteo yang dipecat dan sekali gus menyaksikan penyokong-penyokong skuad The Blues sudah hilang sabar dengan pengurus kelahiran Sepanyol itu.

"Kami (Chelsea) perlu meningkatkan lagi tahap corak permainan kami di atas padang. Saya percaya itu boleh membuatkan para penyokong berasa gembira," kata Benitez yang berjaya membawa Liverpool merangkul trofi kejuaraan Liga Juara-Juara pada 2005.

Selepas memulakan kempen musim ini dengan cemerlang, prestasi Chelsea menurun secara mendadak dan ia terbukti apabila gagal mencatatkan kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir dalam saingan Liga Perdana England.

Ia merupakan keputusan terburuk skuad The Blues dalam tempoh 17 tahun. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger