1News Online:
Home » , , » Chelsea sedia berbelanja besar pada pasaran perpindahan pemain bulan depan

Chelsea sedia berbelanja besar pada pasaran perpindahan pemain bulan depan

Thursday, December 20, 2012 | 9:48 AM



LONDON - Chelsea sedia berbelanja besar pada pasaran perpindahan pemain bulan depan selepas melepaskan penyerangnya, Daniel Sturridge kepada Liverpool dengan bayaran 12 juta pound (RM58.8 juta).

Pemilik Blues, Roman Abramovich bakal bertindak aktif dalam pasaran dan mensasarkan perbelanjaan sehingga 100 juta pound (RM490 juta) untuk membawa lebih ramai bakat ke Stamford Bridge.

Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi Blues mengenai senarai pemain yang disasarkan pada musim sejuk nanti.

Bintang Porto, Joao Moutinho, yang memiliki klausa belian 28.5 juta pound (RM139.7 juta) antara yang berada dalam senarai permintaan, manakala pemain tengah Everton, Marouane Fellaini yang bernilai 20 juta pound (RM98 juta) turut dalam pertimbangan.

Bagaimanapun, penyerang sensasi Atletico Madrid, Falcao kekal sebagai sasaran utama kelab London itu. Dia mempunyai klausa belian 48 juta (RM235.2 juta) dan Blues sedia menawarkan gaji mingguan 200,000 pound (RM980,000) kepada pemain antarabangsa Colombia itu.

Sturridge digugurkan daripada kejohanan Piala Dunia Kelab di Jepun minggu lalu dan dijangka melengkapkan perpindahannya ke Anfield, Januari ini.

Difahamkan, pemain England berusia 23 tahun itu sudah mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak jangka panjang yang membolehkan dia menikmati gaji mingguan 70,000 pound (RM343,000) di Anfield.

Pemergian Sturridge merupakan tempoh yang penting buat Benitez kerana dia bakal kehilangan seorang penyerang dan kini tinggal Fernando Torres.

Chelsea juga perlu mengukuhkan bahagian tengah selepas Oriol Romeu terpaksa diketepikan selama enam bulan akibat pembedahan lutut.

Malah, Blues berdepan tekanan daripada Frank Lampard yang mahu meninggalkan kelab London itu bulan depan.

Difahamkan, Lampard ditawarkan tempat oleh bapa saudaranya, Harry Redknapp untuk menguatkan kelab bermasalah, Queens Park Rangers (QPR).

Chelsea sebelum ini telah menjelaskan bahawa mereka tidak akan menawarkan kontrak baru kepada Lampard, 35, sehingga musim ini berakhir tetapi mereka tidak bercadang untuk kehilangan bintang tengah England itu dalam masa terdekat.

Benitez mengesahkan, rundingan dan perancangan mengenai perpindahan pemain telah dimulakan, namun tegasnya, segala persoalan hanya akan dijawab bulan depan.

"Kami masih ada masa sebelum pasaran perpindahan dibuka. Kami ada orang-orang yang bertugas untuk mengenal pasti siapakah pemain yang sesuai, jadi ia lebih mudah untuk menyenarai pendek nama mereka yang dikehendaki.

"Pengarah Sukan, Michael Emenalo menonton setiap sesi latihan dan kami akan bercakap dengan pasukan apa yang kami mahukan, setiap hari kami akan berbincang mengenainya.

"Kami bercakap tentang pemain. Saya tahu apa yang dia suka, dia pula tahu apa yang saya suka, jadi dalam kes ini kami setuju untuk mendapatkan pemain yang bersesuaian," ujar Benitez.

Chelsea sebelum ini memberi amaran kepada semua pemain dan staf mereka agar lebih berhati-hati memberi informasi tentang kelab selepas kertas taktikal Benitez ditemui dalam tong sampah bilik persalinan pemain ketika pasukan itu kalah kepada Corinthians pada final Piala Kelab Dunia.

Kertas berkenaan menunjukkan secara terperinci taktik pertahanan yang akan digunakan oleh Chelsea, selain arahan-arahan kepada pemain. - AGENSI



Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger