1News Online:
Home » , , » City terdesak

City terdesak

Friday, December 14, 2012 | 8:49 AM

KOMPANY yakin City mampu untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana England yang dimenangi musim lalu.

LONDON - Manchester City dijangka berdepan ujian yang getir dalam kunjungan ke Newcastle United pada aksi Liga Perdana England di St. James Park malam esok.

Skuad bimbingan Roberto Mancini itu perlu menampilkan aksi yang lebih baik selepas tewas 2-3 kepada Manchester United, sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah juara bertahan itu pada kempen musim ini.

Kapten City, Vincent Kompany mengakui pasukan itu masih mampu untuk mempertahan gelaran yang diraih musim lalu meskipun ketinggalan enam mata di belakang United.

"Tidak ada apa-apa pun yang terlintas dalam fikiran saya sekarang (tekanan) kerana kami tahu pasukan mampu melakukannya. Jadi jika pasukan berada di landasan yang baik, kami masih berpeluang untuk memenangi (Liga Perdana England) sekali lagi," kata pemain Belgium itu.

"Sudah tentu, sebagai juara kami akan menjadi pasukan pilihan untuk memenanginya. Kami hanya perlu bersabar dan apabila tiba waktu perlawanan nanti, kami memenanginya semula.

"Pasukan-pasukan lain mungkin terlalu menghormati kami. Sebab itu perlawanan menjadi agak sukar. Menjadi juara bertahan Liga Perdana England merupakan satu kebanggaan, jadi kami harus menerima segala cabaran yang mendatang.

"Mesej saya pun sudah jelas untuk semua pihak, kami tidak boleh berdiam diri tetapi pada masa yang sama mahukan kejayaan pada akhir musim," tambah Kompany.

Newcastle juga menerima nasib yang sama pada aksi ke-16 liga domestik apabila tewas kepada Fulham pada Isnin lalu.

Ini bermakna, skuad kendalian Alan Pardew itu sudah mengalami lima kekalahan dalam enam perlawanan terakhir.

"Saya risau kerana pasukan tidak meraih mata yang cukup. Walaupun prestasi pasukan ketika menentang Stoke City, Wigan Athletic dan Fulham menunjukkan peningkatan, ia masih merisaukan kerana kami tidak memiliki mata yang cukup pada carta liga domestik," kata Pardew.

United pula akan melayan kunjungan Sunderland yang sudah terkeluar daripada zon penyingkiran selepas menewaskan Reading baru-baru ini.

"Kami mengakui pasukan telah melepaskan banyak gol dan pasukan memberikan tentangan agak lewat dalam perlawanan.

"Begitupun, ia sudah cukup untuk menjadi petanda bahawa United menghadapi musim yang sangat baik tahun ini," kata pemain tengah United, Ryan Giggs. - Agensi
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger