1News Online:
Home » , , » Ferguson Harap Ronaldo pulang dan Bermain di Old Trafford

Ferguson Harap Ronaldo pulang dan Bermain di Old Trafford

Sunday, December 23, 2012 | 10:56 AM

MANCHESTER - Alex Ferguson memberitahu Cristiano Ronaldo supaya pulang dan beraksi untuk Manchester United.

Pengurus United itu berkata, sekiranya Ronaldo mengambil keputusan untuk meninggalkan Real Madrid, dia berharap Old Trafford akan menjadi destinasi pertama yang dipilih bintang sayap Portugal itu.

"Saya hendak melihat dia di sini tetapi pertama sekali, kami kena tahu berapakah kos yang perlu ditanggung untuk mendapatkannya semula dan kedua, saya tidak rasa mereka (Real Madrid) mahu menjualnya. Ini mungkin cuma angan-angan saya,'' kata Ferguson.

Ia juga hampir mustahil berlaku, sekali pun pengurus Real, Jose Mourinho meninggalkan Bernabeu musim ini selepas tidak sehaluan lagi dengan pengurusan tertinggi kelab.

Kontrak Ronaldo bersama Real akan berakhir pada 2015 dan Real menuntut 120 juta pound (RM588 juta) kepada mana-mana kelab yang mengidamkan sentuhan bekas Pemain Terbaik Dunia itu. United menjual Ronaldo dengan harga 80 juta pound (RM392 juta) pada 2009.

Ferguson menganggap Ronaldo antara pemain terbaik dunia ketika ini, malah melabelnya setanding legenda seperti Denis Law, George Best, Pele dan Eusebio, yang tidak pernah lelah mencabar bola tidak kira bagaimana saingan yang dihadapi.

"Pemain-pemain ini berbeza dengan pemain biasa. Mereka akan terus berlari menghambat bola dan bersemangat untuk merampasnya walaupun dalam situasi sukar, ia sangat hebat. Dia (Ronaldo), selalu melakukannya,'' kata Ferguson lagi.

Ronaldo, 27, yang menghabiskan enam tahun di United, akan kembali ke Old Trafford pada Mac ini untuk membantu Real berdepan bekas kelabnya itu pada saingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Sambil berjenaka, Ferguson berkata: "Kontraknya dengan Real ada tertulis bahawa dia tidak boleh menentang kami, serius!. Ia suatu penghinaan kalau dia bermain, dia tiada kesetiaan!.

"Saya hanya bergurau. Sudah tentu dia akan menerima sambutan hebat apabila memasuki padang, tetapi selepas itu terserah kepada peminat kalau hendak mengejeknya.

"Fokus utama perlawanan adalah sekitar Cristiano, harap kami dapat meraih keputusan yang baik apabila berdepan Real di tempat sendiri."

Ronaldo juga mengakui, dia masih menyayangi Old Trafford, dan tidak akan meraikan jaringannya andai dia meledakkan gol.

"Saya masih berhubung dengan Alex Ferguson. Saya rindukan dia, begitu juga dengan Manchester United.

"Saya mengharungi enam tahun yang hebat di sana. Tanpa mereka, saya tidak akan berada pada kedudukan saya sekarang,'' akui pemain Portugal itu. - Agensi
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger