1News Online:
Home » » Grand Deluxe Suite Membuatkan Tetamu Teruja

Grand Deluxe Suite Membuatkan Tetamu Teruja

Sunday, December 9, 2012 | 11:42 AM



KELAINAN yang cuba ditonjolkan Hotel Horizon dengan menyediakan bilik bercirikan kontemporari dan ala-resort serta mempunyai beranda yang selesa berjaya menjadikan hotel yang berada di tengah-tengah bandar raya Kota Kinabalu itu sebagai destinasi penginapan utama pelancong.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam Grand Deluxe Suite yang menjadi 'pertaruhan' Hotel Horizon di Jalan Pantai, pastinya tetamu teruja dengan dekorasi yang ditampilkan.

Bilik yang digabungkan dengan dekorasi kontemporari dan resort ternyata menambat hati sesiapa sahaja kerana ia dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan termasuk ruang tamu selesa, jakuzi, televisyen mudah alih 50 inci dan tab mandi.

Tidak cukup dengan itu, setiap bilik dilengkapkan dengan kotak keselamatan bersaiz komputer riba bagi menyimpan barangan berharga. Kemudahan lain yang turut disediakan adalah baju tidur yukata, kain pelekat serta kain batik.

Selain susun atur katil di bilik yang mempunyai keluasan 60 meter persegi itu berbeza dengan hotel ternama lain, tetamu Grand Deluxe Suite juga boleh menikmati keindahan panorama indah menghadap laut dan bandar raya Kota Kinabalu dari beranda yang luas.

Sambil berbaring di kerusi untuk 'berjemur' dan menjamu selera, tetamu boleh menikmati keindahan di luar hotel.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Hotel Horizon, Hisham Abd. Samad berkata, sejak hotel ini dibuka pada Julai tahun lalu, Grand Deluxe Suite menjadi produk terlaris dan sering kali habis ditempah pelanggan.

Katanya, gabungan kontemporari dan ala-resort menjadikan Grand Deluxe Suite sebagai produk pilihan, selain diperhebatkan dengan keistimewaan lain iaitu kelengkapan dan kemudahan gaya hidup yang moden dan terkini.

"Hotel Horizon mempunyai 10 jenis bilik bagi menempatkan 180 bilik penginapan. Namun begitu, bilik Grand Deluxe Suite sering menjadi pilihan kerana konsepnya yang sangat menarik," katanya kepada S2.

Hotel Horizon mempunyai akses strategik untuk memudahkan tetamu bersiar-siar di sekitar Kota Kinabalu, selain tempat-tempat menarik yang lain.

Hotel itu juga diiktiraf sebagai hotel kedua di Sabah yang menerima status Hotel Tanpa Sampah selepas Hotel Palace. Selain itu, Hotel Horizon juga menyertai kempen Pengurangan Beg Plastik anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada 16 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Hisham berkata, Hotel Horizon turut menyediakan bilik lain yang tidak kurang menariknya apabila setiap bilik diberi sentuhan gaya Jepun. Ia termasuk bilik yang dilengkapi tab mandi kayu stail Jepun (Wooden Japanese Bath Tub).

Menurutnya, bilik jenis itu turut menjadi perhatian dan jarang sekali kosong tanpa pelanggan kerana harga ditawarkan sangat berpatutan, sekitar RM350 semalaman.

Jelasnya, pelanggan yang pernah menginap di bilik itu pasti akan kembali semula kerana mereka menyukai kemudahan yang disediakan, selain dinding kayunya yang unik.

Sementara itu, Hotel Horizon turut memiliki sebuah bilik yang dinamakan CEO Suite. Bilik itu dilengkapi dengan jakuzi peribadi untuk dua orang, mandian stim, televisyen 50 inci, ruang tamu yang luas, bilik mesyuarat dan diberikan sebuah bilik sambungan secara percuma.

Tambahnya, kemudahan lain di hotel tersebut adalah kolam mandi untuk dewasa dan kanak-kanak, manakala The Asian Restaurant menyediakan 80 peratus masakan Cina, selebihnya masakan Nyonya dan ala-Thai.

"Deco Cafe & Grill lebih kepada masakan Barat, manakala Pastria Bakeri merupakan salah satu outlet menyajikan kek keju terbaik di bandar raya ini," katanya.

Kemudahan lain adalah gimnasium di tingkat enam, dan Sky Spa di tingkat lima. Spa itu adalah spa terbesar di Kota Kinabalu dan dilengkapi dengan kemudahan untuk mandi sauna, mandi susu, urutan badan, skrab badan, kolam jakuzi air panas dan sejuk.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger