1News Online:
Home » » Jangan Syok Sendiri Jurusolek Artis

Jangan Syok Sendiri Jurusolek Artis

Saturday, December 8, 2012 | 12:07 AM




PETALING JAYA: Seseorang jurusolek artis yang ingin kekal dalam kerjaya mereka harus mempunyai pengetahuan luas dalam bidang yang diceburi selain perlu mengelak daripada bersikap syok sendiri.

Jurusolek selebriti terkenal Zulfazli Suhadi, 45, berkata, golongan itu juga hendaklah mementingkan disiplin terutamanya terhadap urusan temu janji selain sentiasa mempelajari teknik baru solekan supaya kreativiti mereka tidak dilihat ketinggalan zaman.

“Sesetengah orang menganggap kita jadi jurusolek artis sebab nak kejar glamor kerana dapat menyolekkan muka artis.

"Tetapi kalau sentuhan terhadap solekan yang dikenakan itu tidak menjadi kerana kurangnya ilmu, mekap artis tidak akan berjaya dalam kerjaya mereka,” katanya kepada mStar Online di sini pada Jumaat.

Zulfazli diminta komen kerana berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai jurusolek popular sejak melibatkan diri dalam bidang berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Kecemerlangannya turut diiktiraf oleh Bumiputera Designer Associate (BDA), yang memberikan beliau anugerah “Beauty Award of The Year” pada majlis yang dikenali sebagai BDA Beauty Award 2012 di Menara Matrade, Jalan Duta dekat sini pada 29 November lalu.

Kriteria pemilihannya berdasarkan sumbangan beliau terhadap dunia kecantikan di negara ini termasuk pernah menghasilkan buku kecantikan, mengadakan bengkel tatarias selain berkeupayaan menghasilkan kreativiti solekan terkini.

Beliau juga pernah menjadi pengacara bagi rancangan Tangkap Muat bersama Rizalman terbitan Astro.

Antara selebriti yang pernah menggunakan khidmat solekan Zulfazli dalam tempoh penglibatannya seperti Ziana Zain, Fauziah Latif, Allahyarham Seha, bekas pengacara TV3, Nurul Syuhada, Sultanah Pahang iaitu Sultanah Kalsom, serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tambahnya, kerjaya sebagai seorang jurusolek artis pada ketika ini boleh mendatangkan pendapatan lumayan kerana bilangan artis yang bertambah selain semakin banyak saluran televisyen.

Bagaimanapun agak sukar untuk seseorang jurusolek artis itu bertahan kerana ada di antaranya tidak berdisiplin serta gagal mempelajari teknik-teknik terbaru solekan yang sesuai dengan tuntutan semasa.

“Kita wajar membaca buku-buku kecantikan dari luar negara selain perlu membuat eksperimen terhadap sesuatu solekan agar ia berbeza di antara satu sama lain,” ujarnya.

Ditanya tentang sikapnya yang dikatakan “bermulut laser” pula kata Zulfazli, kecemerlangan seseorang jurusolek dilihat daripada hasil kerjanya menyolekkan wajah seseorang dan bukan terhadap cara mereka berkomunikasi.

“Saya mengaku saya “bermulut laser” tetapi semuanya bertempat. Apa yang penting hasil solekan saya dan bukan apa yang keluar daripada mulut saya,” katanya.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger