1News Online:
Home » , » Kalahkan United tentukan nasib Mourinho

Kalahkan United tentukan nasib Mourinho

Tuesday, December 25, 2012 | 1:13 PM



LONDON - Jose Mourinho dilihat hanya menunggu masa untuk dipecat sebagai jurulatih Real Madrid, melainkan jika pasukannya berjaya menewaskan Manchester United dalam kempen Liga Juara-Juara.

Masa depan jurulatih yang terkenal dengan gelaran The Special One itu di Santiago Bernabeu kini menimbulkan persoalan rentetan kekalahan mengejut 2-3 kepada Malaga dalam saingan Liga Sepanyol awal pagi kelmarin, sekali gus ketinggalan 16 mata di belakang seteru utama, Barcelona.

Biarpun Mourinho enggan meletak jawatan jika gagal membantu Real mempertahankan trofi Liga Sepanyol musim ini, penyokong The Galacticos dilihat semakin kurang sabar, teruta- manya keputusan kontroversi beliau mengetepikan kapten, Iker Casillas dalam aksi kelmarin.

Justeru, hanya kejayaan mengatasi United dalam aksi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara, Februari depan sahaja dilihat mampu meredakan kemarahan peminat dan juga pihak pengurusan Real.

Dalam aksi Liga Juara-Juara nanti, Mourinho kembali berdepan rakan sejawatannya di Old Trafford, Alex Ferguson dan sudah tentu kejayaan membenam United mampu memulih semula maruah beliau yang tercalar ketika ini.

Mourinho memberitahu, beliau percaya masih mendapat sokongan anak-anak buahnya di Santiago Bernabeu, selain kejayaan lampau beliau juga tidak boleh dilupakan begitu sahaja biarpun tewas kelmarin.

"Saya bukannya budak kecil. Saya tahu kekalahan itu sukar untuk diterima tetapi saya tidak bimbang mengenai kedudukan saya dan tidak akan sesekali meletak jawatan.

"Setiap jurulatih di dunia sedar hanya kejayaan semasa sahaja diingati semua orang. Apa juga kejayaan masa lampau hanya tinggal sejarah.

"Cuma, saya akan berhenti jika sedar pemain tidak lagi berada di belakang saya. Itu belum berlaku, jadi saya akan meneruskan perjuangan. Bagi saya, kami hanya kurang bernasib baik apabila tewas, ia semudah itu," kata Mourinho.

Jika dipecat, Mourinho dikatakan bakal kembali semula ke kancah saingan Liga Perdana England apabila beberapa kelab seperti Manchester City, United dan juga bekas majikannya, Chelsea sedia menerima jurulatih kelahiran Portugal itu selepas ini. - Agensi
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger