1News Online:
Home » , , » Kemenangan bakal menjadi keputusan terhebat buat pasukan: Fergie

Kemenangan bakal menjadi keputusan terhebat buat pasukan: Fergie

Saturday, December 8, 2012 | 11:08 AM




LONDON - Boss Manchester United, Alex Ferguson menambahkan bahang menjelang pertarungan epik menentang Manchester City esok apabila mendakwa, kemenangan ke atas kelab Eastlands itu bakal menjadi keputusan terhebat buat pasukannya.

Buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun, City akan mengharungi perlawanan dua musuh berjiran itu sebagai penyandang juara Liga Perdana Inggeris selepas mengetepikan United pada hari terakhir liga untuk bergelar juara, musim lalu.

Sergio Aguero meranapkan impian United musim lalu apabila menjaringkan gol kemenangan City pada masa kecederaan ketika membenam Queens Park Rangers 3-2, sekali gus mengesahkan kejuaraan pasukannya.

Bagaimanapun kejayaan bersejarah itu tidak akan memberi makna andai mereka kalah kepada anak-anak buah Ferguson di tempat sendiri. Ia bukan saja akan mencalar rekod tanpa kalah mereka musim ini, malah membolehkan United melebarkan teraju liga kepada enam mata.

Skuad bimbingan Roberto Mancini terdesak untuk mempertahankan kejuaraan selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara tanpa sebarang kemenangan. Namun, mereka mahu menggunakan rekod tanpa kalah di tempat sendiri sejak Disember, 2010 sebagai penyuntik semangat.

Ferguson pula berdepan masalah tersendiri. United akan berkunjung ke Eastlands bersama benteng pertahanan yang rapuh. Mereka dibolosi tiga kali oleh Reading ketika menang 4-3 pada saingan liga minggu lalu, selain dikejutkan 1-0 oleh kelab Romania, Cluj dalam Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

"Kalau kami menang (Ahad), ia akan menjadi antara keputusan terhebat buat pasukan. Mereka (City) benar-benar pasukan yang bagus, sangat bertenaga dan memiliki ramai pemain hebat.

"Bertemu mereka tidak mudah, kalau kami bertahan seperti ketika menentang Reading, sudah tentu kami akan berdepan masalah besar. Paling penting sekarang, kami belajar daripada kesilapan dan lakukan sesuatu tentangnya,'' kata Ferguson.

Bagi Mancini, kegagalan bersaing di pentas Eropah meletakkan nasibnya bersama City tergugat, justeru dia tidak sanggup menerima satu lagi kekalahan kepada United.

Berita bahawa Pep Guardiola atau Jose Mourinho bakal menggantikannya pada penghujung musim ini sesuatu yang tidak menyenangkan, namun Mancini yakin dia mempunyai masa yang cukup untuk memastikan City kekal berada di landasan yang betul.

"Jelas sekali, musim ini belum berakhir. Kami masih ada Liga Perdana dan Piala FA untuk diburu, jadi kami harus bekerja keras dari sekarang. Apa yang telah kami lakukan setakat ini tidak cukup,'' ujar pengendali dari Itali itu. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger