1News Online:
Home » , , » Kompany minta sokongan peminat

Kompany minta sokongan peminat

Thursday, December 13, 2012 | 8:41 AM




LONDON - Kapten Manchester City, Vincent Kompany berharap para penyokong bersabar selepas pasukan itu gagal mara ke kelompok 16 pasukan terbaik pada kempen Liga Juara-Juara musim ini.

City tersingkir buat kali kedua dalam tempoh dua tahun selepas sekadar menduduki tempat tercorot dalam Kumpulan D.

Aksi yang dipamerkan pada saingan peringkat kumpulan musim ini juga sangat hambar kerana mereka gagal memenangi sebarang perlawanan.

City sekadar seri dalam tiga perlawanan di laman sendiri dan tewas semua aksi di tempat lawan dan kini, pengurusnya, Roberto Mancini terpaksa berhadapan dengan pelbagai persoalan mengenai kemampuan untuk meraih kejayaan pada peringkat Eropah.

Nasib malang City tahun ini bertambah selepas tewas tipis 2-3 kepada musuh sejiran, Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stadium Etihad, Ahad lalu.

Kompany yang mengakui juara Liga Perdana England itu akan melakar kejayaan di pentas Eropah seperti mana yang dilakukan pada saingan domestik musim lalu berkata, City masih memerlukan masa.

"Saya rasa semua pemain bola sepak di dunia mengetahui City mampu mencatat kejayaan yang besar pada aksi Liga Juara- Juara. Jika tidak, mereka sebenarnya tidak sedar dengan kehebatan kami.

"Kami telah buktikannya pada kempen Liga Perdana England dan para penyokong tidak mempunya sebab untuk tergopoh-gapah," kata Kompany.

Jelas pemain Belgium itu, dia percaya para penyokong akan sentiasa bersama City kerana impian untuk menjuarai kejohanan utama di Eropah itu bakal menjadi kenyataan.

"City pasti akan memberikan saingan yang lebih kompetitif tetapi kami yang masih baharu dalam kejohanan ini tidak boleh terus memenanginya secara tiba-tiba.

"Kami perlu mengambil masa lagi. Memang bagus beraksi dalam kejohanan yang sukar kerana ia membuktikan bahawa pasukan kami sudah bersedia merangkul kejuaraan pada peringkat yang lebih tinggi," jelas pemain berusia 26 tahun itu.

Fokus utama City sekarang adalah untuk mempertahankan trofi liga domestik, namun mereka masih ketinggalan enam mata di belakang United.

"Kami masih mempunyai matlamat iaitu memperbaiki pencapaian dan melakukan lebih baik berbanding tahun lalu.

"Itu sasaran utama kami dan pasukan sentiasa bekerja keras setiap hari untuk mencapai misi tersebut. Kami juga telah banyak belajar daripada kejayaan meraih gelaran dan saya sentiasa fikirkan yang pasukan masih perlu memperbaiki kelemahan," tambah Kompany. - Agensi
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger