1News Online:
Home » , , » Man United separuh jalan genggam gelaran

Man United separuh jalan genggam gelaran

Monday, December 31, 2012 | 7:49 AM


MANCHESTER - Alex Ferguson berkata, Manchester United kini menjangkau ‘separuh jalan’ dalam misi mereka merampas kembali mahkota kejuaraan Liga Perdana selepas gol lewat Robin van Persie melengkapkan kemenangan 2-0 ke atas West Brom di Old Trafford, kelmarin.

United bakal bertandang ke Wigan Athletic, esok dengan jurang kelebihan tujuh mata di tangga teratas mengatasi pencabar terdekat yang juga penyandang juara Manchester City, dan van Persie pula menutup tirai tahun 2012 dengan koleksi 33 gol untuk Arsenal dan United.

Jaringan terbaharu penyerang Belanda itu sewaktu membenam West Brom adalah yang ke-14 dalam liga dan yang ke-17 untuk skuad bimbingan Ferguson dalam kesemua pertandingan.

Selepas menjaringkan gol pada minit ke-90 itu, van Persie meraikannya dengan mendedahkan kemeja T dalam yang dipakainya, memaparkan mesej ‘RIP Tchuna’ (bersemadi dengan aman Tchuna), tanda penghormatan kepada seorang sahabatnya yang meninggal dunia sehari sebelum itu.

Ferguson jelas amat menghargai sumbangan ayam tambatannya itu dan dia percaya bahawa United sudah berada pada landasan terbaik untuk mencapai apa yang dihajati.

“Dia (van Persie) mengubah rentak permainan untuk kami. Apabila saya memasukkan dia dan Paul Scholes, mereka berdua telah menenangkan keadaan untuk kami.

“Ia (gol van Persie) cukup menakjubkan. Dia seorang pemain yang menakjubkan. Dia masuk ke padang dan mengembalikan penguasaan permainan kepada kami.

“Setiap kali bola datang kepadanya, dia mengawalnya dengan kemas dan memastikan ia tidak dirampas. Mereka (pemain lawan) terpaksa pulang ke kubu secara kerap untuk bertahan. Van Persie melakukan tugasnya dengan baik sekali.

“Kami berada dalam kedudukan terbaik. Kami sudah tiba di separuh jalan. Ada satu lagi perlawanan menyusul pada Selasa (esok) di Wigan dan kami sudah beralih tumpuan kepada perlawanan itu dan cuba memenanginya.

Sementara itu, Chelsea berjaya mengalahkan Everton 2-1 di Goodison Park semalam bagi membolehkan mereka memintas Tottenham Hotspur di tempat ketiga dan Frank Lampard muncul wira dengan menjaringkan dua gol.

Bagaimanapun Everton terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kedua hasil rembatan jarak dekat Steven Pienaar selepas menerima hantaran lintang Leon Osman.

Tiga minit sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat Lampard berjaya menyamakan kedudukan dan pemain tengah England itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72 untuk membolehkan Chelsea berada di tempat ketiga dengan 38 mata kurang empat mata daripada Manchester City di tangga kedua.
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger