1News Online:
Home » , , » Mancini berang dengan pengadil

Mancini berang dengan pengadil

Friday, December 28, 2012 | 2:58 AM

SUNDERLAND - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini enggan menyalahkan penjaga golnya, Joe Hart selepas kekalahan mengejut 0-1 di Sunderland mengakibatkan penyandang juara itu tercicir dalam saingan memburu gelaran.

Pemain sayap, Adam Johnson muncul pemusnah bekas pasukannya apabila ledakan gol tunggal kemenangannya itu bukan sahaja memberikan kelebihan untuk pendahulu, Manchester United yang menewaskan Newcastle 4-3 secara dramatik di Old Trafford untuk melebarkan jurang di kemuncak dengan tujuh mata, malah meleburkan rekod tanpa kalah pasukan bimbingan Mancini selama lapan bulan di tempat lawan.

Hart kelihatan seperti patut dipertanggungjawabkan di atas kegagalannya menahan rembatan Johnson pada minit ke-53 apabila ia melepasi di celah lengan kiri lalu menembusi gawang.

Namun, Mancini sebaliknya menuding jari ke arah pengadil, Kevin Friend dan pembantu pengadil lain yang didakwanya terlalu menikmati sambutan Hari Natal sehingga lalai dalam tugas mereka.

Pengendali warga Itali itu berang selepas Friend gagal mengesan kekasaran yang dilakukan Craig Gardner terhadap Pablo Zabaleta yang menjurus kepada terhasilnya jaringan getir tersebut.

"Johnson memang sangat bijak sebab kami semua fikir dia seperti mahu melakukan hantaran lintang. "Sebaliknya, dia melepaskan rembatan, dia melakukannya dengan cukup baik. Saya tidak merasakan itu kesilapan Hart.

"Pengadil makan terlalu banyak untuk Krismas. Dia tidak berada dalam prestasi yang baik. Tapi persembahan sedemikian memang boleh berlaku selepas Krismas," ujar Mancini.

Pada masa sama, barisan pemain bintang City juga tidak terkecuali daripada kemarahan bos mereka.

Tegas Mancini: "Kami gagal menjaringkan gol dan itu adalah masalah kami. Kami tidak menghasilkan gol secukupnya untuk memenangi perlawanan ini.

"Apabila kami memiliki peluang, kami terlalu lembik. Kami terlalu lembik di bahagian serangan, terlalu lembik apabila kami melakukan cubaan.

"Ada kalanya kami tidak mencuba apabila patut melakukannya. Apabila kamu menentang pasukan seperti Sunderland yang bertahan dengan semua pemain di belakang bola, maka kamu harus menjaringkan gol jika berpeluang."

Kekalahan kelmarin bermakna City mengalami kekalahan ketiga berturut-turut di Stadium of Light, iaitu kubu yang mereka gagal membawa pulang tiga mata penuh selama empat tahun setengah.

"Mereka adalah badi kami di sini, mungkin tahun depan lebih baik kami jangan datang," tambah Mancini.

Dengan adanya kelebihan tujuh mata, United kini dianggap pilihan untuk menjulang takhta kejuaraan namun Mancini tetap optimis dan tidak menganggap jurang itu sebagai satu masalah.

"Apa yang berlaku di Old Trafford tidak penting untuk kami. Kami tahu United ialah pasukan hebat dan mungkin menang pada setiap perlawanan tetapi musim ini masih panjang.

"United lebih baik daripada kami buat masa ini, namun keadaan itu boleh berubah. Mereka berada di tangga teratas tetapi masih ada masa untuk kami bangkit. Tujuh mata bukan masalah," jelas Mancini. - AFP
Kongsi artikel ini : :

Post a Comment

 
Copyright © 2012. 1News Online - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger